BERITA SEMASA

Papan iklan kempen PH DUN Tiram diconteng

KOTA MASAI – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram, Nor Zulaila, mengecam tindakan vandalisme terhadap dua papan iklan kempen beliau yang diconteng oleh pihak tidak bertanggungjawab dan menyeru semua pihak mengamalkan politik yang matang, berhemah dan saling menghormati.

Menurut beliau, pasukan kempennya pagi tadi mendapati dua papan iklan yang terletak di hadapan LOTUS di tepi jalan utama serta di hadapan PETRONAS Jalan Nenas Utama telah diconteng pada bahagian wajahnya dengan huruf “S” bersaiz besar, dipercayai dilakukan secara sengaja.

Nor Zulaila melahirkan rasa kesal dan kecewa terhadap kejadian itu, namun menegaskan bahawa tindakan sedemikian tidak seharusnya mencemarkan perjalanan kempen pilihan raya.

“Walaupun terdapat pihak yang memilih untuk merosakkan papan iklan kempen melalui perbuatan vandalisme, masih ramai yang memilih untuk mempertahankan nilai kesopanan dan rasa hormat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut mengingatkan pasukan kempennya agar terus berpegang kepada prinsip politik yang berasaskan idea, dasar dan khidmat kepada rakyat, bukannya kebencian atau perbuatan merosakkan harta benda.

Dun tiram
Papan iklan kempen PH DUN Tiram menjadi mangsa vandalisme apabila diconteng dengan huruf S.

“Saya juga ingin mengingatkan pasukan kempen, dan mengingatkan diri saya sendiri, bahawa politik yang matang harus dibina atas asas idea, dasar serta khidmat kepada rakyat, bukannya kebencian dan perbuatan merosakkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Nor Zulaila berkata beliau memilih untuk membalas tindakan negatif dengan sikap berhemah, selaras dengan prinsip “When They Go Low, We Go High”.

“Apabila mereka bertindak dengan kebencian, kita membalas dengan maruah dan adab. Saya percaya rakyat mengharapkan budaya politik yang beradab, berintegriti dan penuh hormat, bukannya kempen yang dipenuhi permusuhan dan vandalisme,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button