SUKAN

Argentina nyaris tersingkir, Scaloni akui kekalahan kepada Cape Verde pasti sesuatu yang ‘gila’

MIAMI GARDENS – Ketua jurulatih Argentina, Lionel Scaloni, mengakui pasukannya hampir menerima kejutan besar apabila dipaksa berhempas pulas sebelum menewaskan Cape Verde 3-2 selepas masa tambahan pada pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026.

Scaloni menyifatkan kekalahan kepada Cape Verde sebagai sesuatu yang “gila”, namun tetap memuji semangat juang lawan yang memberikan tentangan sengit kepada juara dunia itu.

Argentina membuka jaringan menerusi Lionel Messi pada minit ke-29, namun Deroy Duarte menyamakan kedudukan pada minit ke-59 untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Lisandro Martinez kembali meletakkan Argentina di hadapan pada minit ke-92, tetapi Sidny Lopes Cabral sekali lagi menyamakan kedudukan pada minit ke-103.

Gol kemenangan akhirnya hadir pada minit ke-111 menerusi jaringan sendiri Diney Borges selepas tandukan Cristian Romero terkena badannya hasil sepakan penjuru.

“Ia adalah perlawanan yang amat sukar. Pasukan ini tidak pernah berputus asa dan kami perlu mengambil segala perkara positif daripada kemenangan ini,” kata Scaloni selepas tamat perlawanan.

Beliau turut memberikan penghargaan kepada Cape Verde atas aksi cemerlang yang dipamerkan.

“Apabila orang berkata tiada lagi lawan yang mudah, mereka membuktikannya hari ini. Mereka adalah sebuah pasukan yang hebat.

“Saya bangga dengan semua pemain. Kami menamatkan perlawanan dalam keadaan benar-benar keletihan kerana semua memberikan segala-galanya,” katanya.

Mengulas kemungkinan tersingkir dalam perlawanan ke-100 beliau sebagai ketua jurulatih Argentina, Scaloni berkata: “Sudah tentu ia sesuatu yang gila jika kami kalah, tetapi itulah bola sepak.”

Sementara itu, Messi mengakui Argentina sudah menjangkakan cabaran sukar daripada Cape Verde dan menganggap aksi kalah mati tidak memberi ruang untuk sebarang kesilapan.

“Kami tahu ia akan menjadi perlawanan yang sangat sukar. Kami melakukan perkara paling sukar dengan menjaringkan gol terlebih dahulu, tetapi dalam aksi kalah mati tiada siapa akan memberikan apa-apa dengan mudah.

“Pasukan Argentina ini akan terus berjuang sehingga wisel penamat,” katanya.

Messi turut mengakui pasukannya gagal memberikan tekanan secara konsisten apabila kedudukan antara pemain terlalu jauh sehingga membuka ruang kepada Cape Verde menguasai permainan.

Martinez pula menyifatkan kemenangan itu sebagai hasil semangat juang tinggi seluruh pasukan.

“Kami berjuang hingga ke penghujung. Saya bangga dengan pasukan ini. Kami tidak boleh terlalu selesa kerana lawan bermain dengan amat baik dan layak diberikan pujian.

“Kadangkala kami perlu melalui detik sukar untuk menguji kemampuan sendiri,” katanya.

Argentina kini mara ke pusingan 16 terbaik dan akan berdepan Mesir, yang sebelum itu menyingkirkan Australia menerusi penentuan sepakan penalti.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button