POLITIK

Onn Abu Bakar kemuka enam tekad bangunkan Senggarang lebih maju, sejahtera

BATU PAHAT – Enam tekad yang memfokuskan kepada pembangunan infrastruktur, pemerkasaan ekonomi, pendidikan, kebajikan serta peningkatan kemudahan asas menjadi teras tawaran Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Onn Abu Bakar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Onn berkata, enam tekad itu dirangka sebagai komitmen untuk membawa Senggarang ke arah pembangunan yang lebih maju, sejahtera dan berdaya saing, selaras dengan keperluan semasa rakyat di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, Senggarang mempunyai potensi besar melalui sektor pertanian, perikanan, perusahaan kecil serta masyarakat yang harmoni, namun masih berdepan pelbagai cabaran termasuk kemudahan asas, peluang ekonomi, pembangunan belia dan isu kebajikan.

Katanya, antara keutamaan yang akan diberikan ialah usaha menambah baik liputan internet dan telekomunikasi di kawasan taman perumahan, kampung serta luar bandar.

“Saya akan memperjuangkan penambahbaikan liputan internet dan telekomunikasi di kawasan taman perumahan, kampung serta kawasan luar bandar supaya rakyat, pelajar, usahawan dan peniaga dapat menikmati akses internet yang lebih stabil untuk pendidikan, perniagaan dan urusan harian,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata, aspek keselamatan penduduk turut diberi perhatian menerusi cadangan menambah serta menaik taraf lampu jalan di kampung dan kawasan yang dikenal pasti berisiko.

Menurut Onn yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat, usaha itu penting bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya, mengurangkan risiko kemalangan serta membantu mencegah kejadian jenayah.

Pada masa sama, Onn berkata, beliau akan memberi tumpuan kepada usaha menaik taraf jalan raya, longkang dan sistem saliran bagi mengurangkan masalah kesesakan, banjir kilat serta impak air pasang besar yang sering membebankan penduduk di beberapa kawasan Senggarang.

Beliau turut komited memperkasa ekonomi tempatan dengan membantu usahawan, peniaga, nelayan, petani dan pekebun menerusi program latihan, akses kepada pembiayaan, pemasaran serta peluang perniagaan baharu bagi meningkatkan pendapatan rakyat.

Dalam aspek pembangunan modal insan, katanya, peluang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pendidikan digital serta latihan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) akan diperluaskan supaya golongan belia memiliki kemahiran yang selari dengan keperluan industri.

“Bagi saya, masa depan Senggarang bergantung kepada generasi mudanya.

“Saya akan memperluaskan peluang TVET, pendidikan digital serta latihan dalam bidang kecerdasan buatan (AI) supaya anak-anak muda mempunyai kemahiran yang selari dengan keperluan industri, sekali gus meningkatkan peluang pekerjaan dan keusahawanan,” katanya.

Onn berkata, aspek kebajikan juga tidak akan dipinggirkan apabila beliau berhasrat memperkasa peranan Pusat Khidmat Rakyat supaya lebih responsif, cekap dan mudah diakses.

Katanya, warga emas, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal serta golongan memerlukan akan terus diberi perhatian agar tidak tercicir daripada bantuan dan program kebajikan kerajaan.

“Enam tekad ini bukan sekadar janji pilihan raya, tetapi merupakan komitmen saya untuk memastikan pembangunan Senggarang dilaksanakan secara menyeluruh, meliputi aspek ekonomi, infrastruktur, pendidikan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

“Saya percaya, dengan kerjasama erat antara rakyat, Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Persekutuan, Senggarang mampu menjadi sebuah kawasan yang lebih moden, selesa didiami dan mempunyai ekonomi yang lebih kukuh tanpa mengetepikan nilai kemasyarakatan yang menjadi kekuatan kawasan ini,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button