POLITIK

PRN Johor: Arthur tampil dengan rekod perkhidmatan, bukan retorik

KULAI – Rekod perkhidmatan penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern mampu meyakinkan pengundi untuk memilih beliau sekali lagi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chang Lih Kang berkata, prestasi Arthur dalam menyelesaikan isu rakyat, aktif di kawasan serta peranannya dalam Sidang DUN Johor menjadi faktor utama parti terus mengekalkannya sebagai calon.

“Rakyat akan menilai berdasarkan apa yang telah dilakukan. Arthur bukan sahaja rajin turun padang, malah banyak menyelesaikan isu tempatan dan memainkan peranan yang baik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri.

“PKR berpuas hati dengan prestasinya dan berharap pengundi memberi peluang sekali lagi kepada beliau untuk meneruskan khidmat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Manifesto DUN Bukit Batu di Bilik Gerakan Utama DUN Bukit Batu, Taman Impiana, Kelapa Sawit, di sini hari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata, Arthur turut membawa kelebihan sebagai calon daripada gabungan yang menjadi tunjang Kerajaan Persekutuan, sekali gus memudahkannya menyelaras pelbagai usaha pembangunan untuk kawasan berkenaan.

Pada PRN Johor 2022, Arthur memperoleh 9,439 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), S Suppayah yang mendapat 9,302 undi selain calon Perikatan Nasional (PN), Tan Heng Choon (4,334 undi) dan calon Parti Warisan (Warisan), Lee Ming Wen (1,053 undi).

Mahkamah Pilihan Raya pada 29 Jun 2022 memutuskan kemenangan Arthur bagi kerusi DUN Bukit Batu adalah sah selepas petisyen pilihan raya dikemukakan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button