PRN Johor: Elia Nadira seru politik perpaduan, bukan perpecahan
SEGAMAT – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Elia Nadira menegaskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor seharusnya menjadi medan untuk membina negeri dan bukan dijadikan platform yang memecah-belahkan masyarakat.
Beliau berkata, peningkatan isu berunsur perkauman yang dimainkan ketika kempen pilihan raya wajar dihentikan kerana ia tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat.
Katanya, seorang wakil rakyat yang dipilih perlu berkhidmat untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum.
“Makin hari, makin banyak pula dimainkan isu perkauman. Kita pilihan raya ini untuk bina negeri ini, bukan nak memecah-belahkannya.
“Yang akan jadi wakil rakyat perlu jadi wakil rakyat untuk semua, bukan untuk satu kaum sahaja. Sebab itu saya selalu tekankan dalam ucapan-ucapan, ‘kita semua satu keluarga’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kenyataan sama, beliau berkata, usaha meraih sokongan tidak seharusnya dilakukan dengan cara memecah-belahkan masyarakat demi kemenangan politik.
“Jangan sebab nak menang pilihan raya, kita pecah belahkan masyarakat. Kita tak nak menang sorak, kampung tergadai.
“Sama-sama kita jaga keluarga besar Tenang, sama-sama kita bina masa depan Tenang,” katanya.
Sementara itu, pemerkasaan pendidikan, potensi agropelancongan serta pembangunan sektor pertanian menjadi antara tumpuan Elia Nadira dalam kempennya di DUN Tenang.
Elia berkata, tumpuan itu dirangka selepas beliau menerima pelbagai keluhan dan pandangan penduduk khususnya berkaitan kekurangan peluang pekerjaan yang menyebabkan golongan muda terpaksa mencari rezeki di luar kawasan.
Sehubungan itu, beliau berpandangan potensi agropelancongan di Tenang perlu diperkasa bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















