5 anggota penjara dihadapkan ke mahkamah berkait insiden Penjara Taiping
TAIPING – Lima anggota Jabatan Penjara telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan berkaitan insiden yang berlaku di Penjara Taiping pada 17 Januari 2025.
Jabatan Penjara dalam satu kenyataan memaklumkan, prosiding berkenaan merupakan perkembangan terkini kes yang sedang berjalan di mahkamah, selepas seorang anggota penjara lain sebelum ini telah pun didakwa di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan bagi insiden sama.
“Daripada lima individu yang didakwa hari ini, dua daripada mereka dituduh di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, manakala tiga lagi berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
“Jabatan Penjara menghormati sepenuhnya proses perundangan yang sedang berjalan dan akan terus memberi kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara (AGC) dan institusi kehakiman bagi memastikan keadilan dilaksanakan secara telus mengikut lunas undang-undang,” kata kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan itu lagi, jabatan berkenaan sentiasa berpegang kepada prinsip integriti, profesionalisme dan akauntabiliti dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai institusi korektif negara, serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku yang boleh menjejaskan kepercayaan awam.
BACA JUGA:
Cederakan banduan, lima warden Penjara Taiping didakwa esok
“Pihak jabatan turut menghormati hak setiap individu untuk mendapat perbicaraan yang adil selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang dan anggapan tidak bersalah sehingga dibuktikan oleh mahkamah,” tegas kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu prosiding mahkamah yang sedang berjalan dan memberi ruang kepada proses keadilan dilaksanakan sepenuhnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















