Pencuri kabel kereta api bakal berdepan hukuman lebih berat
KUALA LUMPUR – Kerajaan bercadang memperketat hukuman terhadap kes pencerobohan, vandalisme dan kecurian aset kereta api termasuk mengenakan penalti lebih berat kepada individu yang terlibat dalam kegiatan mencuri kabel yang menjejaskan keselamatan serta operasi perkhidmatan rel negara.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, pindaan terhadap undang-undang berkaitan sedang diperhalusi dan dijangka dibentangkan di Parlimen pada hujung tahun ini memandangkan peruntukan sedia ada dilihat tidak lagi memadai.
Menurut beliau, hukuman yang diperuntukkan ketika ini terlalu ringan dan tidak memberi kesan pencegahan yang berkesan terhadap pelaku jenayah.
“Banyak perkara perlu dipinda kerana undang-undang yang ada sekarang terlalu lemah. Bayangkan, kesalahan menceroboh hanya dikenakan denda antara RM500 hingga RM1,000 sahaja.
“Bagi kes kecurian kabel yang melibatkan aspek keselamatan, penalti yang lebih berat akan dikenakan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Hasbi berkata, sebanyak 393 kes kecurian kabel direkodkan sepanjang tiga tahun lalu, membabitkan kehilangan 19,756 meter kabel dengan nilai kerugian dianggarkan mencecah RM16.3 juta.
Beliau berkata, kerajaan turut memperkukuh kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk menjalankan pendekatan bersama pengusaha dan peniaga besi buruk bagi memastikan mereka tidak membeli barangan yang dipercayai hasil kegiatan jenayah.
Selain itu, Railway Assets Corporation (RAC) telah memasang sebanyak 1,146 unit kamera litar tertutup (CCTV) pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) di lokasi berisiko tinggi dengan kos keseluruhan RM14 juta.
“Penggunaan dron juga diperkenalkan bagi memantau kawasan hotspot yang sukar diakses menerusi rondaan konvensional,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) turut menerima kelulusan untuk memperoleh 20 buah motosikal scrambler bagi kegunaan Polis Bantuan sekali gus meningkatkan kecekapan rondaan, mempercepatkan tindak balas terhadap insiden dan memperkukuh penguatkuasaan di kawasan rel berisiko tinggi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



















