BERITA SEMASA

Pempengaruh buat ‘live’ perlawanan Piala Dunia 2026 di TikTok, netizen gesa tindakan diambil

KUALA LUMPUR – Seorang pempengaruh media sosial yang mempunyai kira-kira 1.9 juta pengikut dikecam netizen selepas didakwa menyiarkan secara langsung perlawanan Piala Dunia 2026 menerusi platform TikTok tanpa kebenaran.

Dakwaan itu dibangkitkan oleh seorang pengguna media sosial, @Amirrizal menerusi hantaran di Threads yang mendakwa pempengaruh berkenaan telah melakukan siaran langsung perlawanan pusingan kalah mati antara Ivory Coast dan Norway pada awal pagi semalam.

Menurutnya, siaran langsung tersebut berjaya menarik lebih 15,000 penonton serentak selain menerima lebih 5,000 perkongsian dan 1.7 juta tanda suka.

Beliau turut mendakwa pempengaruh sama sebelum ini pernah membuat siaran langsung perlawanan antara Jerman dan Paraguay yang dikatakan mencatat jumlah tontonan sehingga 503,000.

“RTM membeli hak siaran untuk rakyat Malaysia, tetapi dia membuat siaran langsung di TikTok dan berkongsi kepada seluruh dunia semata-mata untuk meraih tontonan.

“Semalam (kelmarin), perlawanan Jerman menentang Paraguay di siaran langsungnya ditonton sehingga 503,000 pengguna. Harap tidak dikenakan saman oleh FIFA atau RTM,” katanya dalam hantaran tersebut.

Hantaran itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-rata menggesa pihak berkuasa dan pemegang hak siaran mengambil tindakan terhadap pempengaruh terbabit jika didapati berlaku pelanggaran hak penyiaran.

Seorang pengguna, @Tzaelily, berpendapat tindakan tegas perlu diambil bagi mengelakkan pihak tertentu mengambil kesempatan terhadap kandungan berhak cipta.

“Moga mereka saman dia. Betul-betul ambil kesempatan,” katanya.

Seorang lagi pengguna, @Wafty.ali menggesa orang ramai melaporkan akaun TikTok pempengaruh berkenaan kepada pihak platform.

“Saman sahaja. Bukan RTM sahaja, kalau boleh FIFA pun ambil tindakan kerana menayangkan siaran secara haram,” kata seorang lagi pengguna, @Mirzaaiman98.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button