813 projek sekolah daif siap sepenuhnya setakat Jun
KUALA LUMPUR – Sebanyak 813 projek pembangunan semula sekolah daif di seluruh negara telah siap sepenuhnya setakat Jun tahun ini, menurut Kementerian Pendidikan (KPM).
KPM berkata, daripada keseluruhan projek yang diluluskan, sebanyak 173 projek kini berada dalam fasa pembinaan manakala 264 lagi berada pada peringkat prabina.
Menurut kementerian itu, sebanyak 1,250 projek pembangunan semula bangunan sekolah daif telah diluluskan dengan kos keseluruhan berjumlah RM13.8 bilion.
“KPM ingin menjelaskan bahawa tempoh pembinaan projek pembangunan semula sekolah daif adalah antara enam hingga 36 bulan bergantung kepada skop projek dan keperluan kerja penyediaan tapak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kementerian itu turut berkata, jumlah sekolah daif yang pernah dilaporkan sebelum ini bersifat dinamik dan boleh berubah dari semasa ke semasa berdasarkan keadaan semasa serta penilaian yang dilakukan di lapangan.
KPM menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sentiasa memantau keperluan dan kebolehlaksanaan pembinaan bangunan gantian bagi sekolah yang dikenal pasti berada dalam keadaan daif.
“KPM sentiasa komited untuk memastikan akses kepada pendidikan berkualiti serta menyediakan ekosistem pembelajaran yang kondusif di semua sekolah di seluruh negara demi manfaat murid, guru dan masyarakat,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















