PRN Johor: PN terima tamparan, pemimpin akar umbi BERSATU Sri Medan umum sokong calon PH
PARIT SULONG – Perikatan Nasional (PN) menerima tamparan apabila beberapa pemimpin akar umbi Parti BERSATU u di Sri Medan mengisytiharkan sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Medan.
Menerusi sebuah video yang tular di media sosial seorang individu yang bertindak sebagai jurucakap mendakwa Ketua Jawatankuasa BERSATU Bandar Sri Medan; Jamain selaku Ketua BERSATU Air Putih dan Taufik yang diperkenalkan sebagai Ketua BERSATU Sri Medan menyatakan sokongan kepada calon PH, Hishamuddin Ishak.
“Kami akan menyokong calon PH nombor tiga. Pakatan Harapan! Pakatan Harapan! Boleh,” kata mereka dalam satu video tular.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada kepimpinan BERSATU Bahagian Parit Sulong mahupun PN bagi mengesahkan atau menafikan dakwaan yang terkandung dalam video berkenaan.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 11 Julai ini, Hishamuddin yang juga Ketua PKR Cabang Parit Sulong bakal berdepan calon BN yang juga penyandang kerusi, Datuk Zulkurnain Kamisan, selain Ahmad Rosdi Bahari daripada PN.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu Zulkurnain berjaya mempertahankan kerusi tersebut dengan majoriti 6,274 undi.
Sri Medan berada di bawah Parlimen Parit Sulong dan pentadbiran parti kawasan itu diletakkan di bawah BERSATU Bahagian Parit Sulong.
Sebelum ini, Bahagian Parit Sulong diterajui Datuk Ariss Samsudin yang kemudian melepaskan jawatan sebagai Ketua BERSATU Bahagian Parit Sulong sebelum mengumumkan keluar daripada parti dan kembali menyertai UMNO pada April lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















