Lebih 30,000 permohonan tambah kuota BUDI Diesel dilulus
PUTRAJAYA – Lebih 30,000 pemilik kenderaan diesel persendirian telah berjaya memperoleh kelulusan untuk meningkatkan had kelayakan bulanan di bawah program BUDI Diesel daripada 200 liter kepada 300 liter setakat semalam.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, permohonan tambahan kuota itu dibuat secara dalam talian menerusi portal rasmi yang disediakan kerajaan bagi memenuhi keperluan golongan tertentu yang menggunakan diesel pada kadar lebih tinggi.
Menurut beliau, pelaksanaan BUDI Diesel mengambil kira keperluan pelbagai kelompok pengguna termasuk peniaga kecil, penjaja, penyedia perkhidmatan serta penduduk di kawasan pedalaman.
“Dalam pelaksanaan BUDI Diesel, kita memahami bahawa kumpulan sasaran program ini termasuk peniaga kecil, penjaja dan mereka yang menawarkan pelbagai perkhidmatan, selain penduduk di kawasan pedalaman yang mungkin mempunyai penggunaan diesel yang lebih tinggi.
“Justeru, kerajaan membuka ruang kepada mereka untuk memohon peningkatan kuota daripada 200 liter kepada 300 liter. Sehingga semalam, lebih 30,000 individu telah membuat permohonan dan menerima kelulusan melalui sistem yang disediakan,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau pelaksanaan hari pertama BUDI Diesel di sebuah stesen minyak di Presint 8, di sini hari ini.
Program BUDI Diesel yang mula dilaksanakan hari ini membolehkan pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter.
Pelaksanaan mekanisme baharu itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 400,000 pemilik kenderaan diesel persendirian di Semenanjung Malaysia, selain 300,000 lagi pemilik kenderaan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan penyeragaman harga diesel bersubsidi di bawah program BUDI Diesel sebagai sebahagian daripada usaha memastikan pengagihan subsidi dilaksanakan secara lebih bersasar dan berkesan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















