POLITIK

Puad Zarkashi gesa rakyat Rengit tangguh undi BN sehingga isu rakyat selesai

BATU PAHAT – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi tampil membidas kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang melabelkan isu kegagalan projek tangki air dan masalah benteng pecah di Rengit sebagai isu peribadi.

Puad menegaskan bahawa kedua-dua perkara tersebut merupakan isu kepentingan rakyat yang memberi kesan langsung kepada penduduk setempat, bukannya polemik peribadi seperti yang didakwa.

Beliau meluahkan kekecewaan terhadap pendekatan Menteri Besar yang disifatkan lebih mengutamakan agenda kempen politik berbanding meninjau realiti kesusahan rakyat di kawasan tersebut.

“Saya menggesa rakyat Rengit tangguh beri undi kepada BN kerana dua isu besar iaitu tangki air Rengit dan benteng pecah yang belum selesai. MB kata itu isu peribadi.

“Bukankah dua isu itu adalah isu rakyat. Isu yang rakyat Rengit marah kepada saya selaku ADUN dan dia sebagai MB,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook.

Menurut Puad, Menteri Besar sepatutnya mengambil peluang ketika lawatannya ke Rengit baru-baru ini untuk meluangkan masa melihat sendiri lokasi benteng pecah dan tapak pembinaan tangki air yang terbengkalai, yang hanya terletak kira-kira lima minit perjalanan dari lokasi kempennya.

Kegagalan beliau untuk berbuat demikian, menurut Puad, menjadi alasan mengapa beliau menggesa rakyat Rengit agar menangguhkan sokongan undi kepada Barisan Nasional (BN) buat sementara waktu.

Beliau menjelaskan bahawa gesaan tersebut bukanlah bermaksud menolak BN secara kekal, sebaliknya sebagai satu bentuk isyarat agar kerajaan negeri menyegerakan penyelesaian bagi isu-isu tersebut.

Tegas beliau, sekiranya segala permasalahan rakyat dapat diselesaikan dengan segera, maka pengundi Rengit boleh mempertimbangkan semula sokongan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak.

Dalam pada itu, Puad turut menepis dakwaan bahawa tegurannya dipengaruhi oleh sentimen peribadi atau konflik politik membabitkan anak beliau.

“MB dan kuncu kuncunya pergi ke mana mana masih main isu anak saya. Kami moving forward. Iaitu anak saya tidak dapat jadi calon dan saya sudah keluar parti.

“Anak saya pula masih kekal dalam UMNO walaupun dipecat sebagai AJK Pemuda dilantik. Pada saya itu juga latihan kepimpinan untuknya,” katanya.

Puad turut melahirkan rasa kesal apabila Menteri Besar dalam ucapannya memuji bekas ADUN Rengit, Datuk Ayub Jamil, sedangkan menurut beliau, terdapat sejarah hubungan yang kurang baik di antara mereka sepanjang tempoh beliau berkhidmat di kawasan tersebut.

Puad memberi peringatan bahawa beliau masih menyimpan banyak lagi maklumat berkaitan pertemuan mereka di Saujana pada 21 Jun lalu yang belum didedahkan kepada umum dan akan menjadikannya sebagai simpanan peribadi buat masa ini.

Beliau menekankan bahawa ruang media sosial kini menjadi medium utama untuknya menyuarakan denyut nadi rakyat Rengit setelah ruang perdebatan rasmi tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak pentadbiran negeri.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button