POLITIK

PRN Johor: Anak muda, wanita, warga emas jadi keutamaan Noraziah di DUN Buloh Kasap

SEGAMAT – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Buloh Kasap, Noraziah Mohd. Razit tampil dengan tiga tekad utama yang akan menjadi teras perjuangannya sekiranya diberi mandat oleh pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata, tiga komitmen itu merangkumi usaha mendengar dan menyelesaikan masalah rakyat, memperkasa ekonomi setempat serta membina masa depan yang lebih baik untuk anak muda, wanita dan institusi keluarga.

Menurutnya, beliau tidak hadir sekadar meraih sokongan, sebaliknya mahu menjadi wakil rakyat yang sentiasa bersama masyarakat sepanjang masa.

“Saya hadir bukan sekadar meminta undi tetapi membawa tiga tekad yang akan saya laksanakan untuk rakyat Buloh Kasap.

“Tekad saya yang pertama adalah mendengar, berkhidmat dan menyelesaikan. Saya akan sentiasa turun padang, mendengar setiap suara rakyat dan memastikan setiap masalah diberi perhatian serta diselesaikan dengan cepat dan adil,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Beliau berkata, tekad kedua ialah memperkasa ekonomi rakyat menerusi bantuan kepada usahawan, peniaga dan petani selain membuka lebih banyak peluang latihan serta memastikan bantuan kerajaan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

“Tekad yang ketiga adalah membina generasi dan keluarga Buloh Kasap. Saya mahu membina masa depan Buloh Kasap yang lebih baik dengan memperkasa anak muda, wanita dan keluarga, di samping menjaga kebajikan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan golongan yang memerlukan,” katanya.

Noraziah berkata, seorang wakil rakyat yang baik bukan hanya hadir ketika musim pilihan raya, sebaliknya perlu sentiasa bersama rakyat bagi mendengar dan menyelesaikan setiap isu yang dibangkitkan.

“Pada hari mengundi nanti, saya memohon sokongan dan kepercayaan kepada rakyat Buloh Kasap. Berilah peluang kepada Harapan untuk bekerja, berkhidmat dan membawa perubahan yang dapat dirasai oleh semua.

“Buloh Kasap tidak perlukan janji yang indah. Buloh Kasap perlukan wakil rakyat yang hadir, bekerja dan menyelesaikan masalah. Insya-Allah itulah komitmen saya,” katanya.

Mengulas fokus kempen, beliau berkata, perhatian akan diberikan kepada semua lapisan masyarakat dengan penekanan khusus terhadap golongan anak muda, wanita dan warga emas.

“Saya mahukan semua dapat disentuhi dan merasai keberadaan saya di sini. Pertama, saya perlu mendengar dan melihat sendiri masalah serta keperluan yang ada di Buloh Kasap sebelum mengambil tindakan,” katanya.

Beliau turut menyifatkan sambutan yang diterima daripada pengundi sepanjang tiga hari berkempen sebagai amat positif.

“Alhamdulillah, penerimaan rakyat di Buloh Kasap sangat positif. Saya melihat rakyat di sini mahukan seorang wakil rakyat yang mudah didekati, rajin turun padang dan benar-benar mendengar suara mereka.

“Sambutan yang saya terima memberi semangat untuk saya terus berkhidmat sebaik mungkin di Buloh Kasap ini,” katanya.

Noraziah berkata, sepanjang tempoh berkempen beliau memberi tumpuan kepada aktiviti turun padang bagi mendekati penduduk dan memahami keperluan mereka secara lebih dekat.

Sementara itu, pihak jentera PH memaklumkan calon berkenaan dijadualkan menghadiri sehingga 10 program sehari di seluruh kawasan DUN Buloh Kasap dan setakat ini telah menemui kira-kira 30 peratus pengundi yang terdiri daripada pelbagai kaum, termasuk golongan muda dan wanita.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button