JENAYAH & MAHKAMAH

Penangguhan keputusan rayuan Syed Saddiq luar dari kebiasaan – Hisyam Teh

PUTRAJAYA – Peguam yang mewakili Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan penangguhan keputusan rayuan akhir anak guamnya sebagai sesuatu yang belum pernah berlaku sepanjang pengalamannya mengendalikan kes.

Datuk Hisyam Teh Poh Teik berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan untuk menangguhkan penghakiman kepada 13 Julai depan adalah situasi luar biasa kerana penghakiman sebenarnya telah pun disiapkan.

“Ini adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku (unprecedented). Pertama kali dalam amalan (guaman) saya dan pertama kali dalam pengalaman saya.

“Kami baru sahaja dimaklumkan oleh Yang Arif Presiden Mahkamah Rayuan bahawa keputusan sudah sedia, namun tidak dapat disampaikan pagi ini memandangkan salah seorang ahli korum tidak sihat.

“Oleh itu, kes ini ditangguhkan ke tarikh 13 Julai bulan depan,” katanya ketika ditemui di parkarangan Istana Kehakiman di sini, hari ini.

Penangguhan itu membabitkan rayuan akhir Syed Saddiq bagi mengetepikan sabitan terhadap empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram melibatkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).

Jika rayuan pendakwaan ditolak, keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini akan dikekalkan sekali gus mengekalkan pembebasan beliau, namun sekiranya rayuan dibenarkan, Syed Saddiq berdepan hukuman berdasarkan sabitan terhadap pertuduhan yang dihadapinya.

Terdahulu, Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais memaklumkan prosiding hari ini tidak dapat diteruskan selepas salah seorang anggota panel, Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali, tidak dapat menghadiri prosiding kerana sedang menjalani cuti sakit selama dua hari.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button