BERITA SEMASAPOLITIK

PRN Johor: ‘Akak kapal’ mahu bawa kepakaran maritim pacu ekonomi perikanan DUN Sungai Balang

MUAR – Berbekalkan pengalaman dalam industri perkapalan serta kelulusan dalam bidang kejuruteraan maritim, calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang, Ayna Soraya Badaruddin bertekad membawa pendekatan baharu bagi memajukan sektor perikanan yang menjadi nadi ekonomi penduduk kawasan itu.

Graduan University of Southampton itu berkata, kawasan seperti Parit Jawa dan Pantai Leka mempunyai potensi besar, namun memerlukan pembangunan lebih tersusun termasuk penambahbaikan jeti, kemudahan pendaratan bot dan penggunaan teknologi moden.

“Pendekatan ini penting bagi membantu nelayan meningkatkan hasil tangkapan, mengurangkan kos operasi dan membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk setempat.

“Justeru, pembangunan sektor perikanan tidak boleh dilihat hanya dari sudut tangkapan ikan, sebaliknya perlu merangkumi rantaian ekonomi lebih luas termasuk kemudahan pendaratan, pemasaran, pemprosesan hasil laut dan latihan kepada komuniti nelayan,” katanya.

Ayna Soraya, 31, dikenali sebagai ‘akak kapal’ kerana pengalamannya dalam industri perkapalan serta minyak dan gas sebelum menceburi politik.

“Pengalaman yang saya miliki dalam bidang maritim ini akan digunakan untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta pembangunan ekonomi kepada penduduk Sungai Balang,” katanya.

sungai balang
Ayna Soraya menggoreng roti canai ketika menyantuni penduduk di Sungai Balang bersama Datuk Fahmi Fadzil baru-baru ini.

Selain itu, beliau yang juga Timbalan Ketua Srikandi PKR berazam untuk memperkasa golongan wanita dan ibu tunggal menerusi latihan kemahiran, bantuan bersasar serta peluang menjana pendapatan.

“Bagi golongan muda pula, tumpuan saya ialah memperluaskan peluang pekerjaan, pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET), selain sokongan kepada ekonomi digital supaya mereka tidak perlu berhijrah jauh semata-mata untuk mencari masa depan yang lebih baik,” jelasnya.

Tambah beliau, selain ekonomi setempat, isu capaian internet yang lemah di beberapa kawasan di Sungai Balang turut menjadi perhatiannya dan difahamkan ia dalam proses penyelesaian selepas dibangkitkan kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung 11 Julai ini, Ayna Soraya akan berdepan saingan tiga penjuru apabila Barisan Nasional (BN) mengekalkan penyandang, Selamat Takim manakala Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan Muhammad Amin Sailan.

Mengulas cabaran bertanding di Sungai Balang yang sekian lama dianggap kubu kuat UMNO, Soraya tidak menafikan beliau turun sebagai calon ‘underdog’.

“Tetapi saya percaya apa pun boleh berlaku dan tidak mustahil PH mencipta kejutan jika pengundi melihat tawaran pembangunan yang diberikan,” katanya.

Beliau juga menyeru para pengundi agar keluar beramai-ramai bagi melaksanakan tanggungjawab mereka pada PRN Johor kali ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button