BERITA SEMASAPOLITIK

PRN Johor: UMNO didakwa semakin terdesak hingga sanggup ‘mengemis’ undi PAS

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (AMANAH) mendakwa, UMNO kini semakin cemas hingga terpaksa ‘mengemis’ undi PAS demi kelangsungan kuasa politiknya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, pengakuan Tan Sri Annuar Musa mengenai kewujudan rundingan rasmi antara UMNO dan PAS mengesahkan bahawa parti itu berada dalam keadaan cemas dan lemas menghadapi gelombang perubahan pengundi bangsa Johor.

“Jika benar UMNO begitu yakin dengan kekuatannya, mengapa perlu membuka rundingan dengan PAS?

“Jika benar sokongan rakyat kepada UMNO begitu kukuh, mengapa perlu mengharapkan arahan PAS supaya ahli-ahlinya mengundi Barisan Nasional (BN) di kawasan tertentu?” katanya dalam kenyataan semalam.

Mahfuz mendakwa, tindakan tersebut memberi gambaran bahawa UMNO sendiri tidak yakin mampu mempertahankan sokongan rakyat tanpa bantuan daripada PAS.

Beliau turut mempersoalkan pendirian UMNO yang sebelum ini sering menjadi sasaran kritikan dan pelbagai gelaran negatif daripada PAS, namun kini dilihat bersedia menjalinkan semula hubungan politik demi mendapatkan sokongan.

“Adakah UMNO sudah hilang keyakinan sehingga perlu mengharapkan undi daripada penyokong PAS?

“Adakah slogan bertanding solo hanya tinggal slogan apabila pada masa sama sokongan PAS dicari?” soalnya.

Menurut Mahfuz, UMNO seharusnya bersikap telus dengan rakyat berhubung usaha memulihkan hubungan politik dengan PAS, sekiranya rundingan itu benar-benar berlaku.

“Rakyat Johor bukan mudah diperdaya. Jika UMNO benar-benar yakin dengan kekuatannya, buktikan di peti undi tanpa bergantung kepada arahan parti lain.

“Pilihan raya bukan pertandingan mencari siapa paling banyak ‘meminjam undi’. Ia pertandingan mendapatkan mandat rakyat berdasarkan dasar, prestasi dan integriti,” katanya.

Mahfuz menegaskan, UMNO perlu menjelaskan kepada rakyat mengapa sebuah parti yang mendakwa kukuh dan stabil kini dilihat sanggup membuka ruang rundingan dengan parti yang selama ini dianggap sebagai lawan politik.

“Rakyat Johor mahukan kepimpinan yang yakin dengan mandat rakyat, bukan kepimpinan yang dilihat bergantung kepada ihsan pihak lain untuk terus berkuasa,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button