Helikopter Saudi Aramco terhempas, 14 individu maut
RIYADH – Sebuah helikopter milik syarikat minyak gergasi Arab Saudi, Saudi Aramco terhempas di kawasan perindustrian Ras Tanura di timur negara itu semalam, mengorbankan kesemua 14 individu yang berada di dalam pesawat berkenaan.
Menurut kenyataan Kementerian Tenaga Arab Saudi yang dipetik Agensi Berita Arab Saudi (SPA), nahas itu berlaku pada pukul 6 pagi waktu tempatan, namun punca kejadian masih belum dikenal pasti.
“Kemalangan itu meragut nyawa kesemua 14 penumpang, dan semua mangsa merupakan warganegara Arab Saudi,” menurut kenyataan tersebut.
Kementerian Tenaga Arab Saudi memaklumkan bahawa siasatan menyeluruh sedang dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan bagi menentukan punca sebenar nahas.
Pada masa sama, kementerian turut merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa.
Setakat ini, pihak berkuasa Arab Saudi tidak mengaitkan insiden itu dengan sebarang unsur serangan atau ancaman keselamatan, meskipun kawasan Ras Tanura pernah menjadi sasaran serangan dron dan peluru berpandu ketika konflik serantau sebelum ini.
Ras Tanura merupakan antara hab petroleum terpenting Arab Saudi, menempatkan loji penapisan minyak utama dengan kapasiti pengeluaran sekitar 550,000 tong sehari serta terminal eksport minyak terbesar negara itu.
Nahas itu berlaku hanya dua hari selepas Saudi Aramco menyambung semula operasi pemuatan minyak mentah di terminal Ras Tanura selepas ia dihentikan hampir empat bulan susulan ketegangan konflik di Asia Barat.
Saudi Aramco iaitu syarikat minyak terbesar dunia yang majoritinya dimiliki kerajaan Arab Saudi, mengendalikan lebih 60 pesawat termasuk helikopter yang beroperasi di lebih 300 helipad di seluruh negara, menjadikannya antara armada penerbangan korporat terbesar di rantau Asia Barat.
Arab Saudi merupakan pengeksport minyak mentah terbesar dunia dengan pengeluaran harian melebihi 10 juta tong dan kemudahan di Ras Tanura memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan tenaga global.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













