Gempa bumi Venezuela: Angka korban cecah 1,430 mangsa
CARACAS – Jumlah kematian akibat dua gempa bumi yang melanda Venezuela pada Rabu lalu terus meningkat kepada 1,430 orang setakat semalam, manakala ribuan lagi dilaporkan cedera dan puluhan ribu masih hilang.
Menurut laporan agensi berita antarabangsa, jutaan penduduk berdepan kekurangan bekalan air bersih, kemudahan sanitasi serta keperluan asas ketika pesawat bantuan pertama dari Amerika Syarikat (AS) tiba di Caracas.
Presiden sementara Venezuela yang disokong AS, Delcy Rodriguez merakamkan penghargaan kepada negara-negara yang menghulurkan bantuan kemanusiaan.
Bagaimanapun, beliau turut berdepan kritikan orang ramai yang mendakwa tindak balas pihak berkuasa terhadap bencana itu tidak memuaskan.
Operasi mencari dan menyelamat masih giat dijalankan dengan penduduk tempatan berganding bahu mengalihkan runtuhan bangunan bagi mencari mangsa yang dipercayai masih terperangkap.
Menurut pakar, tempoh 72 jam pertama selepas bencana merupakan fasa paling kritikal untuk menyelamatkan mangsa yang masih hidup.
Kelmarin, Ketua Bantuan Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tom Fletcher memaklumkan angka korban dijangka terus meningkat, manakala lebih 50,000 individu masih dilaporkan hilang.
AS turut memaklumkan bahawa sebuah landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Simon Bolivar kini beroperasi sebahagiannya bagi membolehkan pesawat tentera C-17 menghantar bantuan kemanusiaan.
Sebuah kapal tentera laut AS juga dilaporkan tiba di perairan Venezuela bagi menyokong operasi bantuan.
Di La Guaira, kawasan pantai yang paling teruk terjejas di utara Caracas, penduduk bersorak gembira apabila berjaya menyelamatkan seorang bayi yang masih hidup daripada timbunan runtuhan kira-kira 32 jam selepas gempa bumi bermagnitud 7.2 dan 7.5 melanda.
Rakaman video yang tular di media sosial memaparkan seorang lelaki tidak dapat menahan sebak ketika mendukung bayi berkenaan selepas berjaya dikeluarkan daripada runtuhan.
Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) menganggarkan sehingga 6.76 juta penduduk mungkin terjejas berdasarkan penilaian terhadap data populasi dan tahap kemusnahan.
Mereka kini memerlukan perlindungan sementara, bekalan air bersih, kemudahan sanitasi dan kebersihan, perkhidmatan kesihatan serta bantuan keperluan asas.
Semalam, Presiden Perhimpunan Kebangsaan Venezuela, Jorge Rodriguez mengesahkan seramai 1,430 orang maut manakala 3,238 lagi cedera akibat bencana itu.
Sementara itu, PBB menganggarkan kerugian fizikal akibat gempa bumi berkenaan mencecah AS$6.7 bilion (RM28.4 bilion), bersamaan kira-kira enam peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Venezuela.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













