Empat negara dalam pertimbangan ganti peluru berpandu NSM – Khaled Nordin
KLUANG – Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang meneliti empat negara sebagai calon pembekal sistem peluru berpandu antikapal bagi menggantikan Naval Strike Missile (NSM) selepas Norway membatalkan lesen eksport sistem tersebut kepada Malaysia.
Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, empat negara yang sedang dipertimbangkan melibatkan beberapa negara di Eropah selain Turkiye dan Korea Selatan, namun identiti negara terbabit tidak didedahkan kerana proses penilaian masih berjalan.
Beliau berkata, penilaian terhadap tawaran berkenaan dibuat berdasarkan beberapa kriteria utama bagi memastikan sistem yang dipilih benar-benar memenuhi keperluan operasi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), khususnya bagi kapal tempur pesisir Littoral Combat Ship (LCS).
“Ada empat negara yang sedang kita timbang. Pertimbangannya bukan secara asas atau umum, tetapi kita perlu menilai sama ada peluru berpandu yang hendak diganti itu boleh disepadukan dengan Combat Management System (CMS) pada kapal LCS.
“Kita tahu CMS dalam kapal LCS adalah buatan Perancis. Jadi sekarang banyak negara mengemukakan cadangan untuk menjual peluru berpandu pengganti kepada kita,” katanya selepas menghadiri Karnival Hari Keluarga Kita bersama warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Zon Selatan, di sini, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, selain keserasian sistem tempur kapal, tempoh penghantaran turut menjadi antara faktor utama dalam pertimbangan kerajaan bagi mempercepatkan kesiapsiagaan aset TLDM.
Menurut beliau, pengalaman sebelum ini menunjukkan perolehan NSM mengambil masa sehingga lapan tahun untuk disiapkan, justeru kerajaan kini mahu memastikan pembekal baharu mampu menghantar sistem tersebut dalam tempoh lebih singkat.
Tambahnya, aspek kos turut diberi perhatian bagi memastikan harga yang ditawarkan berpatutan, selain teknologi peluru berpandu yang dipilih mestilah setanding atau lebih baik berbanding NSM.
Sebelum ini, kerajaan Norway dilaporkan membatalkan lesen eksport NSM kepada Malaysia serta sistem pelancar berkaitan atas alasan keselamatan negara tersebut.
Menurut laman sesawang Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA), perolehan NSM itu dimeterai antara TLDM dan KDA pada April 2018 dengan nilai kontrak 124 juta euro (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam Kapal Tempur Pesisir (LCS) baharu.
Susulan itu, Malaysia telah menghantar surat tuntutan saman melebihi RM1 bilion kepada syarikat berkaitan dan kini sedang menunggu maklum balas daripada kerajaan Norway.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












