Wanita parah, tujuh cedera dalam nahas tiga kenderaan di PLUS
SUNGAI PETANI – Seorang wanita mengalami kecederaan parah, manakala tujuh lagi individu cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 94 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, dekat sini pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 8.45 pagi itu, sebuah lori tujuh tan, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Noah dan sebuah Perodua Myvi terlibat dalam perlanggaran berkenaan.
Mangsa yang terlibat berusia antara 16 hingga 56 tahun dan difahamkan sebahagian daripada mereka merupakan sekumpulan guru dari sebuah sekolah di Perlis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak, Penolong Penguasa Bomba Mohd Happyzam Abd Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.56 pagi sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kemalangan melibatkan lapan mangsa, terdiri daripada dua lelaki yang menaiki lori, dua wanita di dalam Perodua Myvi serta empat individu dalam Toyota Noah iaitu seorang lelaki dan tiga wanita.
“Pemandu Perodua Myvi didapati tersepit di tempat duduk pemandu dan berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas menyelamat.
“Mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala, bahu dan kaki, manakala tujuh mangsa lain hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dua mangsa yang menaiki Perodua Myvi dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) menggunakan kenderaan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).
Katanya, dua mangsa dari lori pula dihantar ke hospital dengan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM), manakala empat mangsa dari Toyota Noah dibawa ke hospital yang sama oleh orang awam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













