BERITA SEMASA

Siak meninggal dunia ketika solat Isyak berjemaah di masjid

YAN – Seorang siak Masjid Nurul Iman, Kampung Titi Teras di sini meninggal dunia selepas rebah ketika menunaikan solat Isyak berjemaah di masjid berkenaan malam tadi.

Mangsa, Md Zahir Hamid, 53, dilaporkan rebah ketika rakaat ketiga sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Seorang jemaah yang enggan dikenali berkata, arwah yang merupakan penduduk kampung tersebut sememangnya dikenali sebagai seorang yang baik dan sentiasa hadir ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah.

“Sebagai siak, arwah memang menjadikan kehadiran ke masjid sebagai rutin hariannya. Beliau juga seorang yang disenangi dalam kalangan jemaah,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Menurutnya, pemergian arwah pada malam Jumaat dianggap sebagai satu pengakhiran yang baik buat Allahyarham.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Superintendan Mohamad Hamizi Abdullah mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada anak mangsa pada pukul 9.15 malam.

Beliau berkata, hasil temu bual dengan ahli keluarga mendapati Allahyarham mempunyai beberapa masalah kesihatan termasuk asma, diabetes serta menjalani rawatan berkala di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

“Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button