POLITIK

Anwar umum senarai penuh calon PH PRN Johor malam ini

JOHOR BAHRU – Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengumumkan senarai penuh 56 calon gabungan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 malam ini.

Majlis pengumuman calon akan berlangsung pada jam 8 malam di Padang Bukit Gambir Extreme Park, sekali gus melengkapkan keseluruhan senarai calon PH yang bakal bertanding pada pilihan raya berkenaan.

Beberapa pemimpin utama PH dijangka hadir memeriahkan majlis itu, termasuk Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke serta Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Turut dijangka hadir ialah jentera parti dan penyokong PH dari seluruh negeri.

Setakat ini, DAP telah mengumumkan lima calon yang akan bertanding iaitu peguam Chu Poh Yee di Mengkibol, setiausaha sulit Timbalan Menteri Kewangan, Nor Zulaila Abd Ghani di Tiram, Ketua DAPSY Johor, Lee Wern Yiing di Johor Jaya, bekas penyandang Wong Bor Yang di Senai serta pembantu khas Ahli Parlimen Kulai, Mohamad Shafwan Ani di Bukit Permai.

Sementara itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mengumumkan Arthur Chiong Sen Sern sebagai calon yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu.

Menerusi hantaran di media sosial semalam, Anwar berkata Johor memerlukan kepimpinan yang berteraskan integriti, berwibawa dan bekerja keras demi kemajuan negeri serta kesejahteraan rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 27 Jun sebagai hari penamaan calon, 7 Julai bagi pengundian awal dan 11 Julai sebagai hari pengundian bagi PRN Johor.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button