Perdana Menteri Britain dilapor bakal letak jawatan
LONDON – Perdana Menteri Britain, Keir Starmer dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk meletakkan jawatan susulan tekanan politik yang semakin memuncak terhadap kepimpinannya, menurut laporan akhbar The Observer.
Bagaimanapun, sumber kerajaan menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan Starmer masih memberi tumpuan penuh kepada tugas mentadbir negara.
Spekulasi mengenai masa depan Starmer semakin hangat sejak beberapa bulan lalu, namun memuncak pada Jumaat selepas pencabarnya, Andy Burnham, memenangi kerusi Parlimen, sekali gus membuka laluan untuk melancarkan cabaran kepimpinan secara rasmi.
Menurut The Observer, Starmer kini sedang berbincang dengan isterinya di kediaman rasmi Perdana Menteri di Chequers sebelum membuat keputusan muktamad.
Beberapa pemimpin kanan Parti Buruh pula menjangkakan kenyataan rasmi mengenai kedudukan beliau mungkin dibuat seawal Isnin.
Walaupun berdepan desakan, sumber kerajaan merujuk kepada pendirian Starmer sebelum ini bahawa beliau bersedia menghadapi sebarang cabaran terhadap kepimpinannya serta menggesa ahli Parti Buruh tidak membiarkan perpecahan dalaman melemahkan parti.
Starmer memimpin Parti Buruh meraih kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum Britain 2024, sekali gus menamatkan 14 tahun pemerintahan Parti Konservatif.
Namun, populariti beliau merosot susulan beberapa kontroversi dan perubahan dasar yang mencetuskan persepsi bahawa kerajaan gagal menunaikan janji untuk memperbaiki taraf hidup rakyat.
Sekiranya Starmer meletakkan jawatan atau digulingkan, Britain bakal memperoleh Perdana Menteri ketujuh dalam tempoh hanya sedekad, kadar pertukaran kepimpinan tertinggi dalam hampir 200 tahun.
Ketidakpuasan hati rakyat terhadap prestasi perkhidmatan awam serta kegagalan menangani isu pendatang asing tanpa izin turut dikatakan menjadi antara faktor utama yang menjejaskan sokongan terhadap kerajaan.
Menurut tinjauan agensi berita antarabangsa, lebih 100 Ahli Parlimen Parti Buruh secara terbuka menggesa Starmer meletakkan jawatan atau menetapkan tempoh masa untuk berundur.
Laporan itu turut mendakwa Starmer mengakui kedudukannya semakin sukar dipertahankan selepas mengadakan perbincangan dengan anggota Kabinet, penasihat, penyumbang dana parti dan pemimpin kesatuan sekerja.
Andy Burnham, 56, yang juga bekas Datuk Bandar Greater Manchester, dilihat sebagai calon paling berpotensi menggantikan Starmer sama ada menerusi peralihan kuasa secara rundingan atau pertandingan kepimpinan parti.
Walaupun Burnham belum mengumumkan cabaran rasmi, beberapa sekutunya menggesa Starmer berundur secara sukarela.
Pada masa sama, bekas Menteri Kesihatan, Wes Streeting, turut dilaporkan bersedia menawarkan diri untuk merebut jawatan tertinggi parti.
Sementara itu, akhbar The Times melaporkan Burnham dijangka memecat Menteri Kewangan, Rachel Reeves sekiranya beliau dilantik sebagai Perdana Menteri baharu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








