JENAYAH & MAHKAMAH

Doktor, pegawai kanan HASiL antara tiga terbunuh kemalangan

PEKAN – Seorang doktor dan anak perempuannya berusia dua tahun antara tiga yang maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 67 Jalan Kuantan-Segamat berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chini, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Mohd Zaidi Mat Zin berkata, mangsa yang terbunuh dikenal pasti sebagai Mohamad Zekry Zuhairy Mohd Atan, 33, manakala anak perempuannya, Dhea Sofia meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Chini.

Seorang lagi mangsa yang terbunuh dikenal pasti sebagai Ketua Penolong Pengarah HASiL Cawangan Cyberjaya, Azaharuddin Mohd Ali, 46.

Zaidi kemudiannya berkata, tiga lagi penumpang kereta, dua penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) dan pemandu pikap turut cedera dalam nahas itu.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku selepas pikap yang dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun cuba memotong sebuah lori.

Bagaimanapun, katanya, pikap itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke lorong kanan, sebelum bertembung dengan kereta dipandu doktor terbabit dan MPV dipandu Azaharuddin yang dalam perjalanan dari arah Segamat ke Kuantan.

“Akibat kemalangan itu, pemandu kereta dan MPV meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Jelasnya, tiga penumpang kereta yang cedera ialah isteri Zekry yang juga pegawai perubatan di Hospital Segamat, Dr Hana Ibrahim, 35, bapa serta ibunya berusia 72 dan 80 tahun.

Katanya, turut cedera ialah penumpang MPV yang juga isteri Azaharuddin, Fatimah Awing Kechik, 46, dan anaknya berusia 15 tahun, Aiman Faez Al-Amini.

Menurutnya, semua mangsa cedera dihantar ke Hospital Pekan untuk rawatan, manakala jenazah mangsa turut dihantar ke hospital sama bagi dibedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kemalangan maut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button