Tahap kesihatan bapa Messi makin pulih, minta privasi dihormati – keluarga
BUENOS AIRES – Jorge Messi, bapa kepada pemain bintang Argentina, Lionel Messi, sedang menjalani pemeriksaan dan pemantauan perubatan berhubung masalah kesihatan yang masih belum dimaklumkan.
Menurut pihak keluarga, Jorge Messi kini menunjukkan perkembangan kesihatan yang positif dalam proses pemulihan di bawah pengawasan doktor, meskipun perincian lanjut mengenai keadaan beliau tidak didedahkan.
“Beliau kini berada di bawah pemantauan perubatan, sedang pulih dan menunjukkan perkembangan yang baik mengikut keadaannya,” menurut kenyataan keluarga itu.
Spekulasi mengenai kesihatan Jorge semakin memuncak selepas Lionel dilihat mengesat air mata dengan bajunya sebaik sahaja menjaringkan gol pertama Argentina menentang Algeria pada perlawanan Piala Dunia Selasa lalu.
Kapten Argentina itu dilihat sebak selepas jaringan pertamanya dalam perlawanan berkenaan, yang kemudian disusuli dua lagi gol untuk melengkapkan hatrik.
Messi sebelum itu turut mengakui dirinya melalui detik sukar di luar padang, yang memberi kesan kepada emosinya ketika perlawanan.
“Air mata saya selepas gol pertama? Saya melalui beberapa hari yang sukar. Ia tiada kaitan dengan bola sepak. Perasaan itu timbul kerana perkara tersebut.
“Saya berterima kasih kepada rakan sepasukan, barisan kejurulatihan dan delegasi kerana membantu saya,” katanya kepada media.
Jorge Messi yang juga ejen kepada pemenang tujuh Ballon d’Or itu sudah lama menjadi tonggak penting dalam kariernya, mengiringi perjalanan Messi sejak di Barcelona, Paris Saint-Germain, Inter Miami serta bersama skuad kebangsaan Argentina.
Dalam kenyataan sama, keluarga Messi turut menzahirkan rasa kesal terhadap laporan media yang disifatkan terlalu mendesak dan tidak menghormati privasi keluarga.
“Kami mohon tanggungjawab, kewarasan dan nilai kemanusiaan. Kesihatan seseorang serta ketenangan keluarga tidak sepatutnya menjadi bahan spekulasi,” menurut kenyataan itu.
Keluarga Messi menegaskan mereka berharap semua pihak menghormati ruang peribadi mereka sepanjang tempoh pemulihan Jorge Messi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



















