Keluarga reda pemergian Prebet Siti Khadijah ketika latihan ketenteraan
KLUANG – Keluarga Allahyarham Prebet Siti Khadijah Sungip, 24, yang terkorban ketika menyertai latihan membaling grenad di Kem Hobart, Gurun, Kedah semalam menerima pemergiannya dengan penuh reda meskipun kehilangan itu amat dirasai.
Bapanya, Sungip Jais, 65, berkata, Allahyarham yang merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik mula menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 18 Julai 2025 dan menjadi satu-satunya anak yang mengikut jejak langkahnya sebagai anggota tentera.
Menurutnya, selepas menamatkan latihan perajurit muda selama enam bulan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat, Port Dickson, Negeri Sembilan, Siti Khadijah ditempatkan di 1 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) di Kamunting, Perak.
Katanya, kali terakhir Allahyarham bersama keluarga adalah ketika sambutan Aidiladha lalu sebelum kembali bertugas.
“Arwah ada beritahu dia terlibat dalam latihan asas ketenteraan dan latihan membaling bom semalam.
“Kami sekeluarga reda walaupun perginya meninggalkan keluarga sebelum ini untuk berkhidmat kepada negara, namun hari ini dia pulang dengan balutan Jalur Gemilang.
“Terima kasih kepada semua pihak yang membantu sehingga jenazah anak saya selamat dikebumikan,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Terdahulu, jenazah Allahyarham selamat dikebumikan mengikut istiadat ketenteraan pada pukul 1.15 tengah hari sebagai penghargaan terhadap jasa dan pengorbanannya dalam pasukan keselamatan negara.
Jenazah tiba di kediaman keluarganya di Taman Sri Lambak pada pukul 12.10 tengah hari sebelum dibawa ke Masjid Nurul Iman untuk disolatkan.
Solat jenazah dipimpin Imam Mejar Mohd Azlan Shah Abdul Razak dari Institut Kejuruteraan Medan, Tentera Darat sebelum Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Sri Lambak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








