Tiga pelajar UIAM maut: Jenazah Adli Hakim selamat dikebumi
SHAH ALAM – Suasana hiba menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, di sini apabila jenazah pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Allahyarham Adli Hakim Akberdin, 24, selamat dikebumikan pada pukul 6.05 petang tadi.
Allahyarham merupakan anak kepada peguam terkenal, Datuk Akberdin Abdul Kader dan salah seorang daripada tiga mangsa yang terkorban dalam kemalangan tragis di Lebuhraya Karak, awal pagi tadi.
Lebih 200 ahli keluarga, saudara mara dan rakan hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Turut hadir memberi penghormatan ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Mohd Zaini Abu Hassan.
Terdahulu, jenazah Allahyarham dimandi dan dikafankan sebelum disembahyangkan di Masjid Seksyen 7, Shah Alam.
Dalam kejadian pada pukul 2.15 pagi di Kilometer 34 Lebuhraya Karak berhampiran Kampung Sungai Chinchin, Gombak, kereta jenis Volkswagen Golf dinaiki empat pelajar UIAM itu dipercayai merempuh belakang sebuah treler ketika dalam perjalanan pulang dari Genting Highlands menuju kampus UIAM Gombak.
Selain Adli Hakim, dua lagi mangsa yang disahkan maut di lokasi kejadian ialah Ameer Ashraf Khairul Annuar, 24, dan Afiq Jamal Abdul Nasir, 26.
Seorang lagi mangsa, Athirah Najwa Mohd Tajul Ashikin, 27, dilaporkan parah dan sedang menerima rawatan di Zon Merah Hospital Selayang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








