BERITA SEMASA

Rosmah Mansor buat laporan polis, nafi dakwaan video hartanah mewah

KUALA LUMPUR – Datin Seri Rosmah Mansor hari ini menafikan dakwaan yang terkandung dalam beberapa video tular yang disifatkan sebagai “serius, palsu dan berunsur fitnah” terhadap dirinya serta keluarga.

Dalam satu kenyataan, isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu berkata, beliau menafikan sekeras-kerasnya setiap dakwaan yang tersebar di platform media sosial termasuk X (dahulunya Twitter) dan Facebook.

Selain itu, Rosmah turut mengesahkan bahawa beliau telah membuat satu laporan polis hari ini susulan keseriusan dakwaan berkenaan, selain memaklumkan bahawa beliau memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan kekal komited untuk terus berbuat demikian.

Beliau berkata, laporan itu dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh terhadap individu, pihak berkaitan serta akaun yang bertanggungjawab menghasilkan dan menyebarkan bahan palsu, berniat jahat serta berunsur fitnah tersebut.

“Saya juga menuntut agar pengendali semua platform media sosial yang berkaitan mengambil tindakan segera dan tegas untuk membuang, menyekat selain menghalang sebarang penyebaran lanjut bahan-bahan palsu serta berunsur fitnah ini.

“Saya dengan ini mengekalkan semua hak yang tersedia kepada saya di sisi undang-undang, termasuk hak untuk memulakan prosiding sivil dan menuntut prosiding jenayah terhadap mana-mana individu atau pihak yang telah menerbitkan, menerbitkan semula, berkongsi atau terus menyebarkan dakwaan palsu serta memudaratkan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rosmah turut menyeru orang ramai dan pihak media supaya bertindak dengan bertanggungjawab dan berhemah, tidak membesar-besarkan kandungan tidak disahkan, palsu serta berunsur fitnah, selain membenarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan tanpa gangguan atau pengaruh selaras dengan proses undang-undang.

Pada masa sama, beliau menafikan pernah terlibat, pada bila-bila masa sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam pembelian, pembiayaan, pemindahan atau pemilikan mana-mana hartanah mewah termasuk yang didakwa bernilai AS$13 juta.

Beliau turut menegaskan tidak pernah membiayai, memudah cara atau mengatur sebarang transaksi sedemikian bagi pihak menantu lelaki atau mana-mana individu atau entiti lain.

“Tuduhan yang mendakwa saya terlibat dalam penggunaan syarikat cengkerang, struktur kewangan luar pesisir atau mempunyai kaitan dengan mana-mana individu atau entiti yang dinamakan dalam video terbabit adalah tidak berasas sama sekali, benar-benar palsu dan direka dengan niat jahat,” katanya.

Rosmah berkata, penerbitan dan penyebaran dakwaan itu adalah perbuatan fitnah serta kenyataan palsu yang berniat jahat.

Beliau menyifatkan kandungan berkenaan sebagai mengelirukan, tidak bertanggungjawab dan direka untuk menipu orang ramai, selain merendahkan keyakinan terhadap proses undang-undang serta menjejaskan reputasi dirinya dan keluarga.

“Kenyataan ini dikeluarkan tanpa menjejaskan semua hak dan remedi saya di sisi undang-undang,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button