JENAYAH & MAHKAMAH

Isteri dipenjara 14 hari, denda RM1,000 buat laporan palsu konon dirompak

MIRI – Seorang wanita berusia 29 tahun dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Miri selepas mengaku bersalah membuat laporan polis palsu kononnya menjadi mangsa rompakan, semata-mata untuk menarik perhatian suaminya.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberikan maklumat palsu kepada pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, wanita berkenaan sebelum itu membuat laporan mendakwa dirinya disamun empat lelaki tidak dikenali di tepi jalan berhampiran Gereja Miri Gospel Chapel, Pujut, pada 27 Mei kira-kira jam 10 malam.

Menurut beliau, dalam laporan tersebut, tertuduh mendakwa kehilangan barang kemas termasuk rantai, cincin, gelang tangan serta wang tunai RM350 dengan jumlah kerugian kira-kira RM3,130.

“Bagaimanapun, siasatan mendapati keterangan wanita itu mencurigakan dan tiada saksi bebas yang mengesahkan kejadian berkenaan,” memetik Buletin TV3 online.

Hasil siasatan lanjut, polis mendapati kejadian rompakan itu tidak berlaku, sebaliknya ia direka oleh tertuduh yang berasal dari Limbang.

“Wanita berkenaan akhirnya mengaku laporan itu direka semata-mata untuk menarik perhatian suaminya yang bekerja di luar pesisir (offshore),” katanya lagi.

Beliau berkata, semua barang yang didakwa hilang turut ditemui semula selepas disorok oleh tertuduh di dalam bonet kenderaan miliknya sendiri.

Pihak polis menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang membuat laporan palsu kerana ia membazirkan masa, tenaga dan sumber pihak berkuasa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button