BERITA SEMASA

DBKL sangkal tuduhan rasuah ketika lepas barangan sitaan kepada penjaja

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menegaskan tindakan anggota penguat kuasanya memulangkan sebuah kotak berisi jagung mentah kepada seorang penjaja di Jalan Bukit Bintang baru-baru ini bukan kerana menerima rasuah seperti didakwa dalam video tular di media sosial.

Sebaliknya, DBKL menjelaskan tindakan itu dibuat atas pertimbangan kemanusiaan selepas peniaga terbabit merayu agar bahan makanan yang mudah rosak itu dikembalikan kepadanya.

Menurut DBKL, insiden berkenaan berlaku kira-kira pukul 8 malam pada 7 Jun lalu ketika anggota penguat kuasa menjalankan operasi terhadap seorang penjaja warga tempatan yang menjual jagung bakar tanpa lesen.

Katanya, dalam operasi tersebut, tindakan penguatkuasaan tetap diambil mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 3(1) Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016.

“Peralatan utama perniagaan iaitu sebuah troli dan satu unit tong gas telah disita untuk dibawa ke stor sitaan.

“Bagaimanapun, kotak polistirena yang mengandungi jagung mentah dipulangkan selepas peniaga berkenaan merayu kerana bahan makanan tersebut mudah rosak,” menurut kenyataan DBKL hari ini.

DBKL menjelaskan, pemulangan bahan makanan itu tidak menjejaskan tindakan undang-undang yang dikenakan kerana proses sitaan terhadap peralatan perniagaan tetap diteruskan seperti biasa.

Dokumen yang dimuatnaik DBKL dalam satu hantaran di Facebook agensi itu.

Sehubungan itu, pihak berkuasa tempatan tersebut menafikan dakwaan bahawa anggota penguat kuasa bertindak melepaskan barangan sitaan atau menerima rasuah ketika menjalankan tugas.

Menurut DBKL, tuduhan yang tular di media sosial itu adalah tidak berasas dan boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap integriti petugas penguat kuasa yang melaksanakan tugas mengikut prosedur ditetapkan.

“DBKL tidak pernah berkompromi dalam aspek penguatkuasaan dan sentiasa bertindak tegas terhadap sebarang pelanggaran undang-undang demi menjaga kesejahteraan awam,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak lima kes sitaan dan empat notis kompaun telah dikeluarkan di sekitar kawasan berkenaan pada hari sama.

DBKL turut menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi serta mendapatkan fakta sebenar sebelum menyebarkan sebarang dakwaan yang boleh menjejaskan reputasi agensi dan menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button