LUAR NEGARA

Gempa 6.1 magnitud landa Cuba, gegaran dirasai sehingga Miami, Orlando

HAVANA – Satu gempa bumi kuat berukuran 6.1 pada skala Richter dikesan melanda barat Cuba semalam, sehingga menyebabkan beberapa bangunan di ibu negara ini dan kawasan sekitarnya bergegar.

Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang kecederaan atau kerosakan harta benda dilaporkan.

Menurut kenyataan Agensi Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS), pusat gempa berkenaan dikesan di kawasan perairan barat ibu negara itu pada kedalaman 10 kilometer (km).

Gegaran kuat itu dilaporkan turut dirasai sehingga ke Florida, Amerika Syarikat.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan di Miami menerusi satu hantaran di laman X (Twitter) mengesahkan pihaknya menerima beberapa laporan mengenai gegaran di barat daya negeri berkenaan, selain hantaran tular di media sosial yang mendakwa impak gegaran turut dirasai sehingga ke utara Orlando.

Susulan kejadian itu, pihak berkuasa Miami-Dade County mengumumkan langkah pengosongan beberapa buah bangunan tinggi sebagai langkah keselamatan, termasuk bangunan pejabat utama kerajaan setinggi 28 tingkat di tengah bandar Miami.

Selain itu, perkhidmatan dua laluan tren komuter bertingkat di kawasan bandar tersebut turut digantung buat sementara waktu bagi tujuan pemeriksaan keselamatan.

Sementara itu, Ahli Geofizik USGS, William Barnhart menyifatkan fenomena gempa bumi berkenaan sebagai satu kejadian yang amat jarang berlaku.

Ujarnya, ia merupakan gempa bumi terbesar yang pernah direkodkan di Teluk Mexico menerusi penggunaan peralatan moden sejak tahun 1950-an.

“Ini merupakan salah satu daripada hanya lima atau seis kejadian gempa bumi bermagnitud 5.0 ke atas yang pernah dikesan di seluruh wilayah Teluk berkenaan,” katanya sambil mengesahkan tiada ancaman tsunami dikesan.

Tambah Barnhart, penduduk di barat Cuba mungkin akan berdepan dengan beberapa siri gempa susulan yang kuat, namun ia dijangka tidak akan memberi kesan kepada penduduk di Florida.

Untuk rekod, zon sesar Oriente yang terletak di luar pantai tenggara Cuba pernah mencetuskan beberapa siri gempa bumi yang merosakkan sebelum ini, termasuk gempa bumi kuat berukuran 7.7 skala Richter pada Januari 2020 yang menjejaskan Cuba dan Kepulauan Cayman.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button