BERITA SEMASA

Empat pantai di Sabah terima amaran nasihat tsunami susulan gempa bumi kuat di Mindanao

KUALA LUMPUR – Empat kawasan pantai di Sabah diletakkan di bawah amaran nasihat tsunami susulan gempa bumi kuat berukuran 7.9 magnitud yang melanda wilayah Mindanao, Filipina, pagi ini.

Kawasan pesisir pantai di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu merupakan lokasi yang dijangka terkesan dengan fenomena berkenaan di antara pukul 10.30 pagi hingga 12 tengah hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan gempa bumi itu berlaku pada pukul 7.37 pagi.

Menurut agensi berkenaan, pusat gempa direkodkan pada koordinat 5.7 darjah utara dan 125.1 darjah timur.

Gempa berkenaan berlaku pada kedalaman 50 kilometer, manakala pusat gempa terletak kira-kira 747 kilometer ke timur dari Semporna, Sabah.

Susulan perkembangan itu, penduduk di kawasan pantai yang terlibat dinasihatkan supaya segera menjauhi pesisir pantai serta mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan bahawa makluman lanjut akan dikeluarkan sekiranya terdapat sebarang perkembangan atau maklumat tambahan berhubung kejadian berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button