Pembekuan akaun Bersatu tidak libatkan peringkat negeri
KUALA TERENGGANU – Pembekuan akaun milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak melibatkan akaun bank milik parti di peringkat negeri.
Menurut ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Razali Idris, pembekuan akaun tersebut hanya membabitkan peringkat Pusat.
Katanya, akaun bank milik parti di peringkat negeri masih aktif, walaupun pembekuan di peringkat pusat telah dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Setakat ini, kita dimaklumkan Ketua Badan Pimpinan Bersatu di seluruh negara yang akaun bank milik parti di peringkat negeri masih aktif dan tidak terbabit dengan pembekuan.
“Kita juga sudah melakukan semakan, akaun milik Bersatu negeri juga masih aktif,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai tindakan pembekuan akaun bank di peringkat Pusat oleh SPRM.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan mengesahkan SPRM sudah membekukan akaun Bersatu.
Azam dilaporkan berkata, akaun milik Bersatu dibekukan untuk membantu siasatan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.
Mengulas lanjut, Razali yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri berkata, SPRM juga diminta turut melakukan siasatan akaun bank milik DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan juga Barisan Nasional (BN).
Katanya, parti itu juga berbelanja mewah sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Kita di peringkat negeri tidak mempunyai sumber kewangan yang banyak untuk berbelanja besar, tetapi kita dimaklumkan parti berkenaan berbelanja mewah sepanjang kempen pada PRU15,” katanya lagi.