Henti spekulasi kes kebakaran premis hiburan di Jalan Penang – Polis
GEORGETOWN – Polis meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kebakaran sebuah premis hiburan di Jalan Penang di sini, yang mengorbankan seorang lelaki warga Myanmar malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, kes kematian lelaki berusia 56 tahun itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (LMM) sementara siasatan lanjut dijalankan.
Menurutnya, sebarang spekulasi mengenai punca kematian mangsa atau kebakaran boleh mengganggu siasatan polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi berhubung kejadian ini yang boleh menjejaskan siasatan polis berkaitan punca kematian mangsa serta siasatan JBPM mengenai punca kebakaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis menerima maklumat kejadian daripada orang awam pada pukul 8.50 malam sebelum pasukan bomba menemukan mayat mangsa berhampiran pintu masuk hadapan premis pukul 10.23 malam.
Siasatan awal mendapati premis itu sedang menjalani kerja pengubahsuaian untuk dijadikan restoran dan mangsa dipercayai pekerja kontraktor yang terlibat dalam kerja berkenaan.
Sementara itu, Pengarah JBPM Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, kebakaran membabitkan premis dua tingkat seluas 1,393.54 meter persegi yang sebelum ini dikenali sebagai pusat hiburan Midnight Black di bangunan bekas pawagam Odeon.
Katanya, kebakaran menyebabkan 70 peratus premis musnah, manakala mangsa ditemukan dalam keadaan melecur berhampiran pintu keluar bangunan dan dipercayai cuba menyelamatkan diri ketika kejadian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















