PRN Johor: Marina Ibrahim umum tidak pertahan kerusi Skudai, pilih berundur dari politik
KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim mengumumkan tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
ADUN daripada DAP itu berkata, beliau mengambil keputusan untuk tidak bertanding dan berundur sepenuhnya daripada arena politik.
“Keputusan ini diambil setelah perbincangan bersama insan-insan yang sentiasa berada di sisi saya sepanjang perjalanan ini.
“Kini, saya memilih untuk kembali kepada sesuatu yang amat dekat di hati saya sejak dahulu lagi iaitu berada di lapangan, menyantuni masyarakat dan meneruskan kerja-kerja kemasyarakatan yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan saya sebelum saya melangkah ke dunia politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Marina berkata, sepanjang empat tahun berkhidmat sebagai ADUN Skudai, beliau telah sedaya upaya memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat setempat.
“Empat tahun yang lalu, saya datang ke Skudai dengan satu harapan yang sederhana tetapi besar maknanya, iaitu untuk berkhidmat.
“Saya hadir bukan dengan kekuatan yang besar, bukan juga dengan pasukan yang lengkap. Namun saya hadir dengan niat yang ikhlas dan keyakinan bahawa setiap amanah perlu dilaksanakan sebaik mungkin.
“Sepanjang tempoh tersebut, saya telah berusaha sedaya upaya memberikan yang terbaik kepada masyarakat. Jika terdapat kekurangan, kelemahan atau perkara yang tidak memenuhi harapan sesetengah pihak, saya dengan rendah hati memohon maaf. Saya hanyalah seorang manusia yang tidak pernah terlepas daripada kekhilafan dan keterbatasan,” katanya.
Sementara itu Marina turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mengundi dan memberikan sokongan kepadanya selama ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








