BERITA SEMASA

Pelaksanaan biodiesel B15 mulai Isnin depan tidak jejas bekalan MSM domestik, eksport sawit negara kekal stabil

PUTRAJAYA – Kerajaan memberi jaminan pelaksanaan Biodiesel B15 di seluruh negara bermula Isnin depan tidak akan mengganggu bekalan minyak sawit mentah (MSM) tempatan serta eksport komoditi berkenaan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, negara masih mempunyai lebihan pengeluaran MSM yang mencukupi untuk menampung pelaksanaan dasar berkenaan tanpa menjejaskan pasaran eksport.

Beliau berkata, negara ketika ini masih mempunyai lebihan pengeluaran MSM atau rizab margin kira-kira dua juta tan metrik setahun.

Menurut beliau, Malaysia merekodkan pengeluaran MSM sebanyak 20 juta tan setahun dengan 16 juta tan daripadanya dieksport ke luar negara.

“Ini bermakna terdapat lebihan sekitar empat juta tan untuk kegunaan domestik.

“Daripada jumlah itu, hanya 0.8 juta tan digunakan bagi pelaksanaan B15, jadi ia tidak akan menjejaskan jumlah eksport negara,” katanya selepas menghadiri taklimat pelaksanaan Biodiesel B15 di sini semalam.

Beliau berkata, keputusan meningkatkan adunan biodiesel daripada B10 kepada B15 dibuat selepas perbincangan bersama pemain industri susulan krisis tenaga di Asia Barat yang memberi tekanan terhadap bekalan bahan api.

Katanya, kadar adunan B15 juga dilihat paling sesuai ketika ini kerana tidak memerlukan pemain industri melakukan penambahbaikan besar terhadap kemudahan sedia ada.

Pada 14 April lalu, kerajaan bersetuju meningkatkan campuran biodiesel daripada B10 kepada B15 bermula dengan pelaksanaan B12 sebagai langkah memastikan bekalan diesel negara terus stabil susulan konflik di Asia Barat.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan kerajaan sebelum ini telah meluluskan peruntukan RM40 juta bagi fasa pertama kerja menaik taraf kemudahan ke arah pelaksanaan B20 di Sarawak.

Tambahnya, kementerian kini sedang mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kewangan bagi mendapatkan peruntukan RM56 juta untuk menaik taraf fasiliti di Klang Valley Distribution Terminal (KVDT).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button