BERITA SEMASA

Jenazah Faezuan Hakim dituntut ahli keluarga, dibawa pulang ke Kuantan untuk kebumi

KUALA TERENGGANU – Jenazah salah seorang mangsa tragedi bot penyelamat yang terhempas di pelantar minyak Sepat di perairan Terengganu-Kelantan semalam selamat dituntut keluarga selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), hari ini.

Jenazah Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, dibawa keluar dari Jabatan Forensik HSNZ pada pukul 1.40 tengah hari sebelum dibawa pulang ke Kuantan, Pahang untuk urusan pengebumian.

Allahyarham dijadual disolatkan di Masjid Cenderawasih, KotaSAS sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali, Kuantan, memetik laporan Metro Online.

Terdahulu, jenazah seorang lagi mangsa, Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 38, turut dibawa pulang ke Kuantan selepas selesai proses bedah siasat pada pukul 12.25 tengah hari.

Jenazah Allahyarham disolatkan di Masjid Al-Iman As-Shafie KotaSAS sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setali.

Sementara itu, mayat mangsa ketiga, Ahmad Fiqri Zakaria, 38, dari Alor Gajah, Melaka masih menjalani proses bedah siasat dan dijangka selesai lewat petang ini.

BACA JUGA:

PETRONAS sahkan insiden 3 pekerja pelantar minyak maut di FSO Sepat

Tiga maut bot keselamatan jatuh ketika latihan di pelantar minyak

Jenazah Allahyarham kemudian akan dibawa pulang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Sebang, Alor Gajah.

Seorang lagi mangsa, Mohd Taufik Mohd Ruslan, 37, dari Banting, Selangor dilaporkan mengalami kecederaan parah akibat patah tulang dan kini menerima rawatan di Unit Kecemasan HSNZ.

Terdahulu, media melaporkan empat kru bot penyelamat terbabit dalam kemalangan selepas bot yang dinaiki dipercayai terhempas ketika menjalankan operasi di kawasan pelantar minyak Sepat di perairan Terengganu-Kelantan.

Kejadian itu mengorbankan tiga mangsa manakala seorang lagi cedera parah.

Difahamkan, semua mangsa merupakan kru yang terlibat dalam operasi berkaitan industri minyak dan gas di kawasan perairan berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button