LUAR NEGARA

Pemancing maut diserang jerung

SYDNEY – Seorang pemancing maut setelah diserang seekor jerung di kawasan Great Barrier Reef, selatan Cairns, semalam.

Kejadian dilaporkan berlaku ketika mangsa berusia 39 tahun itu sedang memancing di Kennedy Shoal, sebuah kawasan terumbu cetek kira-kira 50 kilometer dari pantai Queensland, antara Cairns dan Townsville.

Menurut The Guardian, kawasan tersebut popular dengan aktiviti memancing rekreasi dan menyelam.

Perkhidmatan kecemasan dimaklumkan mengenai kejadian itu sekitar tengah hari semalam sebelum mangsa yang ketika itu berada dalam keadaan kritikal dibawa ke jeti Hull River Heads, berhampiran pekan Tully.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia akibat kecederaannya sejurus dibawa ke darat.

Polis Queensland memaklumkan pihaknya akan menyediakan laporan kepada koroner “susulan kematian mengejut dan tidak mencurigakan membabitkan seorang lelaki berusia 39 tahun” di kawasan Cassowary Coast.

“Perkhidmatan kecemasan dipanggil ke jeti Hull River Heads sejurus sebelum jam 12 tengah hari susulan laporan seorang lelaki diserang jerung ketika berada di Kennedy Shoal.

“Lelaki itu berjaya dibawa keluar dari air namun meninggal dunia akibat kecederaannya.”

Serangan jerung jarang berlaku, namun pernah dilaporkan di kawasan terumbu dan beting sepanjang pantai Queensland.

Pada 2021, bekas penyelam tentera laut Amerika Syarikat, Rick Bettua, terselamat daripada serangan jerung jenis bull shark di Britomart Reef, kira-kira 30 kilometer selatan Kennedy Shoal.

Setakat ini, jenis jerung yang terbabit dalam kejadian maut semalam masih belum dikenal pasti.

Minggu lalu, seorang lelaki turut maut selepas diserang jerung di Rottnest Island berhampiran Perth.

Mangsa berusia 38 tahun itu diberikan rawatan di lokasi kejadian, namun gagal diselamatkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button