Tengku Mahkota Pahang bimbang aktiviti latihan ketenteraan jejas ekosistem
KUANTAN – Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al Sultan Abdullah menzahirkan kebimbangan terhadap aktiviti latihan ketenteraan di kawasan kepulauan negeri ini yang berpotensi menjejaskan ekosistem alam sekitar.
Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, baginda memaklumkan bahawa pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan semua jabatan atau agensi berkaitan perlu terlebih dahulu menyembah maklum serta mendapatkan perkenan Sultan Pahang sebelum melaksanakan sebarang latihan atau eksesais ketenteraan di negeri berkenaan.
Menurut kenyataan itu, baginda mengambil serius rancangan pelaksanaan latihan ketenteraan ATM khususnya di kawasan pulau-pulau dalam negeri Pahang.
“Tengku Mahkota Pahang menzahirkan kebimbangan bahawa aktiviti ketenteraan tersebut akan mengganggu ekosistem alam sekitar, flora dan fauna negeri Pahang,” menurut kenyataan berkenaan.
Bagaimanapun, baginda tidak menolak kepentingan latihan ketenteraan sebagai usaha meningkatkan kemahiran dan pengalaman anggota serta pegawai tentera.
Baginda menegaskan bahawa setiap aktiviti ketenteraan perlu dilaksanakan secara terkawal, bertanggungjawab dan selaras dengan usaha memelihara keharmonian alam sekitar serta kepentingan semua pihak.
Sehubungan itu, Tengku Hassanal bertitah supaya semua pihak berkaitan mematuhi prosedur yang ditetapkan dan mendapatkan perkenan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang sebelum sebarang latihan dijalankan.
Baginda turut menegaskan bahawa pihak ATM dan agensi berkaitan perlu menjunjung titah tersebut, malah tidak teragak-agak untuk meminta Kerajaan Negeri mengambil tindakan sewajarnya sekiranya berlaku sebarang pelanggaran terhadap prosedur yang berkuat kuasa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








