Seorang maut, 36 cedera dalam letupan limbungan kapal di New York
NEW YORK – Seorang individu maut manakala 36 lagi cedera selepas kebakaran dan beberapa letupan berlaku di sebuah limbungan kapal di Staten Island, New York City semalam, ketika anggota bomba sedang menjalankan operasi menyelamat di lokasi kejadian.
Agensi berita antarabangsa melaporkan, Jabatan Bomba New York (FDNY) menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.30 petang waktu tempatan berhubung kebakaran di ruang bawah tanah sebuah struktur logam besar serta laporan dua pekerja terperangkap di lokasi berkenaan.
Ketika anggota penyelamat sedang memadam kebakaran dan mencari mangsa yang terperangkap, satu letupan besar berlaku kira-kira sejam kemudian, diikuti satu lagi letupan yang menyebabkan lebih ramai mangsa cedera.

Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani berkata, situasi itu merupakan kecemasan yang rumit dan berkembang dengan pantas.
“Pasukan penyelamat melakukan apa yang sentiasa mereka lakukan iaitu mara ke dalam bahaya demi memastikan orang lain dapat diselamatkan,” katanya dalam sidang media, memetik laporan New York Post.
Mangsa yang maut disahkan orang awam, namun identitinya belum didedahkan setakat ini. Kebanyakan mangsa yang cedera terdiri daripada anggota bomba dan petugas kecemasan.
Dua anggota bomba dilaporkan mengalami kecederaan serius dan dikejarkan ke hospital.
Seorang marshal bomba mengalami keretakan pada bahagian pelipis kepala serta pendarahan otak sehingga memerlukan bantuan pernafasan, manakala seorang lagi anggota bomba berada dalam keadaan serius tetapi stabil.
Pesuruhjaya FDNY, Lillian Bonsignore berkata. lebih 200 anggota bomba dan petugas perubatan daripada hampir 70 unit dikerahkan ke lokasi kejadian di Richmond Terrace, Staten Island.
Ketua Jabatan FDNY, John Esposito, memaklumkan lima anggota bomba dan paramedik sedang menjalankan operasi mencari di dalam serta sekitar struktur terbabit ketika letupan kedua berlaku.
Sementara itu, saksi kejadian, Richard Oviogor, memberitahu media tempatan beliau terdengar dua letupan kuat disusuli gelombang gegaran besar.
Punca kebakaran dan letupan masih disiasat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













