BERITA SEMASA

3.3 juta kenderaan dijangka guna lebuh raya sempena Aidiladha, cuti sekolah – LLM

KUALA LUMPUR – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan sebanyak 3.3 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya utama dan lebuh raya sambungan di seluruh negara sempena sambutan Hari Raya Aidiladha serta cuti persekolahan.

Ketua Pengarahnya, Ir Mohd Hadzmir Yusoff berkata, pertambahan trafik dijangka berlaku secara berperingkat bermula hari ini hingga 7 Jun depan susulan Aidiladha yang bakal disambut pada 27 Mei selain cuti umum dan cuti sekolah yang panjang.

Menurut beliau, Lebuh Raya Kumpulan PLUS merekodkan unjuran trafik tertinggi dengan 2.2 juta kenderaan, diikuti Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) sebanyak 283,000 kenderaan dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) sebanyak 209,000 kenderaan.

“Turut dijangka mengalami peningkatan trafik ialah Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) dengan 151,000 kenderaan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) sebanyak 137,000 kenderaan, Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) sebanyak 125,000 kenderaan, Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) sebanyak 106,000 kenderaan dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) sebanyak 50,000 kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi memastikan aliran trafik lebih lancar dan selamat sepanjang tempoh perayaan, semua syarikat konsesi lebuh raya diarahkan melaksanakan beberapa langkah proaktif termasuk tiada penutupan lorong kecuali kerja kecemasan bermula 23 Mei hingga 2 Jun ini.

Katanya, sebanyak 34 lokasi Smart Lane turut diaktifkan termasuk di Lebuh Raya PLUS selain memastikan sistem kutipan tol berfungsi dengan baik serta pelaksanaan kutipan berlapis di plaza tol kritikal.

“LLM juga melaksanakan pemeriksaan operasi lebuh raya serta kemudahan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan Hentian Sebelah selain menyediakan 65 tandas mudah alih serta bekalan air mencukupi.

“Penambahan parkir dan petugas termasuk anggota RELA di kawasan R&R turut dilakukan bagi membantu melancarkan pergerakan pengguna,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Hadzmir menasihatkan pengguna supaya merancang perjalanan menggunakan aplikasi TuJu dan Travel Time Advisory (TTA), memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta mempunyai baki mencukupi bagi Touch ‘n Go, e-wallet dan kad debit.

Beliau turut mengingatkan pengguna supaya mematuhi arahan ketika pengaktifan Smart Lane manakala penunggang motosikal diminta lebih berhati-hati serta menggunakan 571 lokasi motorcycle shelter ketika cuaca buruk.

Maklumat trafik semasa dan insiden di lebuh raya boleh diperoleh menerusi Facebook rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia, TikTok @llmtrafik atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button