BERITA SEMASA

YouTuber, pekerja muzium mohon maaf atas dakwaan Upin & Ipin karya asal Indonesia

SHAH ALAM – Seorang YouTuber Indonesia, Frans Sanjaya bersama seorang pekerja muzium dikenali sebagai Sadan tampil memohon maaf selepas mencetuskan kontroversi apabila mendakwa siri animasi popular Upin & Ipin berasal dari Indonesia.

Permohonan maaf itu dibuat menerusi satu video dimuat naik di YouTube, dengan kedua-duanya mengakui kekhilafan selepas mengeluarkan kenyataan bahawa hak cipta asal karakter Upin & Ipin yang didakwa dikenali sebagai ‘Arifin’ kononnya telah dibeli sebuah syarikat produksi Malaysia pada tahun 2008.

upin ipin
Tangkap layar video yang mendakwa animasi Upin & Ipin berasal dari Indonesia.

“Kami ingin memohon maaf sebesar-besarnya kepada rakyat Malaysia dan Indonesia atas salah faham serta kekeliruan yang telah kami timbulkan.

“Kami mengambil maklum segala komen yang diberikan dan mengakui kekhilafan kami.

“Kami sama sekali tidak berniat untuk membuat tuntutan atau merendahkan mana-mana pihak,” kata mereka.

Mereka turut berharap isu berkenaan dapat diselesaikan secara baik sambil menegaskan Malaysia dan Indonesia merupakan negara serumpun dan berjiran.

BACA JUGA:

Les’ Copaque tegas Upin & Ipin karya asli syarikat, dakwaan animator Indonesia tidak berasas

Kontroversi itu tercetus selepas tular video memaparkan Frans ketika mengunjungi sebuah muzium wayang di Indonesia bersama Sadan sebelum mendakwa Upin & Ipin sebenarnya berasal dari Indonesia.

Dakwaan tersebut kemudian menerima reaksi balas daripada Les’ Copaque Production yang menegaskan siri animasi itu adalah karya asli milik syarikat berkenaan sepenuhnya.

Karakter Upin & Ipin merupakan dua beradik kembar yang botak adalah karya animasi syarikat tempatan, Les’ Copaque yang mula diterbitkan pada tahun 2007.

Sebelum ini, seorang individu dikenali sebagai Bambang Galon turut memuat naik video mendakwa Upin & Ipin pada asalnya merupakan karya animator Indonesia dengan nama awal ‘Si Arifin’.

Dia turut mendakwa sekumpulan animator dari Jakarta dan Bandung menghasilkan animasi tersebut sekitar tahun 2008 sebelum karya itu kononnya dibeli syarikat dari Malaysia dan diperkenalkan semula beberapa tahun kemudian.

Bagaimanapun, tiada bukti rasmi dikemukakan bagi menyokong dakwaan berkenaan.

Untuk rekod, Upin & Ipin mula diterbitkan oleh Les’ Copaque pada tahun 2007 dan sehingga kini kekal sebagai antara siri animasi paling popular di Asia Tenggara termasuk di Malaysia dan Indonesia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button