BERITA SEMASA

Kerajaan pergiat usaha panjangkan tempoh bekalan tenaga negara sehingga Disember

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menegaskan kerajaan sedang mempergiat usaha bagi memastikan bekalan tenaga negara dapat dilanjutkan sehingga Disember ini susulan konflik di Asia Barat.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, tahap keterjaminan bekalan tenaga ketika ini diunjurkan mencukupi sehingga Julai, namun pelbagai langkah sedang dilaksanakan bagi memanjangkan tempoh itu termasuk mendapatkan sumber bekalan alternatif dari luar negara.

“Kita mahu mengurangkan penggunaan dan menjimatkan penggunaan tenaga, supaya dapat memanjangkan tempoh hayat bekalan minyak serta gas kita.

“Setakat ini, Insya-Allah keterjaminan bekalan tenaga kita sehingga Julai. Petronas sedang bertungkus lumus mendapatkan sumber bekalan termasuk pergi ke Afrika sekali pun dan kita akan dapat keterjaminan bekalan tenaga sehingga Disember,” katanya memetik laporan BH Online.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan inisiatif Rebat Solar dan Bantuan Insentif Kelestarian (SuRIA) Home pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri PETRA, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Ketua Setiausaha PETRA, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata krisis tenaga global ketika ini memberi kesan menyeluruh kepada rantaian ekonomi termasuk sektor kesihatan, pembuatan dan logistik.

Katanya, keadaan itu turut memberi tekanan kepada kerajaan yang menanggung subsidi besar bagi mengurangkan impak kepada rakyat.

Beliau berkata, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang bersidang setiap minggu turut meneliti kesan krisis tersebut serta merangka langkah bagi membantu sektor terjejas, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Inilah yang kita laksanakan dan ia memerlukan kerjasama semua, setiap lapisan masyarakat perlu melaksanakan tanggungjawab mereka, khususnya apabila kita melaksanakan bekerja di rumah (BDR), bekerjalah bersungguh-sungguh di rumah dan bukannya di luar rumah,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button