Wang simpanan, pinjaman bank suri rumah RM749,000 lesap akibat phone scam
KUALA TERENGGANU – Seorang suri rumah berdepan kerugian besar apabila wang simpanan miliknya bersama pinjaman bank berjumlah RM749,000 lesap selepas diperdaya sindiket penipuan telefon atau phone scam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Azli Mohd Noor berkata, mangsa wanita berusia 43 tahun membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu pada Rabu selepas menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan.
Menurut beliau, kejadian bermula pada 13 Julai tahun lalu ketika mangsa berada di rumah sebelum menerima panggilan daripada individu yang mendakwa mewakili pihak insurans dan polis.
“Suspek memaklumkan mangsa terlibat dalam kes penggubahan wang haram membabitkan akaun bank miliknya.
“Mangsa kemudian diarahkan membuka dua akaun bank kononnya bagi tujuan siasatan selain diminta menyerahkan maklumat perbankan kepada sindiket,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa turut diarahkan membuat beberapa transaksi pembayaran ke akaun diberikan suspek yang didakwa bagi tujuan siasatan oleh Bank Negara.
Menurutnya, mangsa melakukan pemindahan wang ke beberapa akaun bermula Ogos 2025 hingga Januari 2026 membabitkan jumlah keseluruhan RM749,000.
“Wang itu melibatkan simpanan peribadi mangsa selain pinjaman bank yang dibuat,” katanya lagi.
Azli berkata, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas membuat semakan menerusi aplikasi Semak Mule dan mendapati nombor telefon yang menghubunginya dikaitkan dengan kegiatan scammer.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







