JENAYAH & MAHKAMAH

Guna logo TV3 kongsi berita palsu harga petrol, wanita didenda RM4,000

SEPANG – Seorang pembantu tadbir wanita didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah memuat naik kandungan palsu berhubung kadar harga petrol dan diesel di aplikasi Threads.

Tertuduh, Nur Irsalina Binti Omar Kumar, berusia 27 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta yang sama.

Berdasarkan pertuduhan, wanita itu didakwa menggunakan akaun Threads “@its.ellsaleena_” secara sedar memuat naik kenyataan bersifat palsu dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Kandungan yang dimuat naik didakwa memaparkan maklumat palsu mengenai infografik harga bahan api dan diesel dengan menggunakan logo Buletin TV3 yang kemudiannya telah dinafikan oleh stesen televisyen berkenaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 31 Mac 2024 dan kandungan berkenaan dilihat pada hari yang sama pada pukul 10 malam di Aras 8, Menara MCMC 1, Jalan Impact, Cyberjaya, dalam daerah Sepang, Selangor.

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pengajaran dengan mengambil kira faktor kepentingan awam memandangkan isu harga bahan api boleh mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.

Bagaimanapun, tertuduh merayu agar dikenakan denda minimum atas alasan dia hanya bekerja dengan pendapatan RM2,800 sebulan serta mendapati kandungan tersebut diperoleh daripada kenalan di WhatsApp dan telah dipadamkan dalam tempoh singkat.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu memberitahu mahkamah, dia merupakan penanggung utama keluarga termasuk bapanya yang merupakan seorang OKU tidak bekerja, datuk yang uzur, ibunya, serta seorang adik yang baru terlibat dalam kemalangan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM4,000 atau dipenjarakan selama empat bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan, selain mengarahkan segala barang kes diserahkan kepada pihak pendakwaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button