Wabak Ebola ragut 88 nyawa di Congo, WHO isytihar darurat kesihatan global
KINSHASA – Seramai 88 orang dilaporkan maut daripada 336 kes wabak Ebola yang dikesan di Republik Demokratik Congo (Congo) yang memaksa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak itu sebagai darurat kesihatan awam antarabangsa.
WHO memaklumkan, jumlah sebenar jangkitan dan kawasan penularan wabak dari strain Bundibugyo itu masih belum dapat dipastikan, namun risiko penularan tempatan dan serantau disifatkan tinggi.
Menteri Kesihatan DR Congo, Samuel-Roger Kamba berkata, strain Bundibugyo tidak mempunyai vaksin atau rawatan khusus buat ketika ini dan mempunyai kadar kematian tinggi yang mencecah sehingga 50 peratus.
Strain Bundibugyo pertama kali dikenal pasti pada 2007 dan pernah menyebabkan kematian seorang warga Congo di Uganda.
Menurut pihak berkuasa, wabak itu dikesan di wilayah Ituri, bahagian timur laut Congo yang bersempadan dengan Uganda dan Sudan Selatan.
“Pesakit pertama merupakan seorang jururawat yang mendapatkan rawatan di Bunia pada 24 April lalu selepas mengalami simptom Ebola termasuk demam, muntah dan pendarahan,” katanya.
Sementara itu, kumpulan bantuan perubatan Doctors Without Borders (MSF) berkata, pihaknya kini sedang menggerakkan bantuan berskala besar susulan peningkatan pantas kes jangkitan dan kematian.
“Penduduk tempatan mendakwa ramai pesakit meninggal dunia di rumah kerana kekurangan pusat pengasingan dan kemudahan rawatan,” katanya.
WHO turut memberi amaran bahawa wabak itu mungkin lebih besar daripada angka yang direkodkan ketika ini berikutan peningkatan kes disyaki dan pengesahan jangkitan di dua negara.
Ebola merebak melalui sentuhan cecair badan atau darah individu yang dijangkiti dan boleh menyebabkan pendarahan serius serta kegagalan organ.
Tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah sehingga 21 hari.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






