BERITA SEMASA

UEC ke IPTA tetap bersyarat, wajib lulus BM dan Sejarah – PM

IPOH – Kemasukan pelajar lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) masih tertakluk kepada syarat ditetapkan kerajaan termasuk wajib lulus Bahasa Melayu dan Sejarah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, syarat itu dikenakan sama seperti pelajar daripada sekolah antarabangsa, maahad tahfiz dan sekolah aliran Arab yang tidak mengikuti sepenuhnya sistem pendidikan kebangsaan.

Menurut beliau, kerajaan tidak memberikan laluan mudah kepada mana-mana pihak sebaliknya memastikan semua pelajar memenuhi syarat asas yang ditetapkan.

“Sekarang ini sekolah antarabangsa kita letak syarat yang sama, sedangkan ramai anak Melayu dan anak Malaysia belajar di situ.

“Maahad tahfiz dan sekolah Arab yang dulunya mengajar kurikulum dalam bahasa Arab tetapi tidak memberi penekanan kepada Bahasa Melayu dan Sejarah juga dikenakan syarat sama.

“Sebab itu kita buat keputusan memberi laluan kepada UEC,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-55 di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek serta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Isu pengiktirafan UEC dan kemasukan lepasan peperiksaan itu ke IPTA terus menjadi polemik selepas beberapa pihak mempersoalkan syarat ditetapkan kerajaan termasuk keperluan lulus Bahasa Melayu dan Sejarah di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button