BERITA SEMASA

Isu UEC perlu penjelasan jelas, elak kekeliruan rakyat – Jamal Yunos

SHAH ALAM – Polemik berkaitan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) perlu diberikan penjelasan tuntas oleh kerajaan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir perlu tampil memberi penjelasan jelas berhubung status sebenar pengiktirafan UEC oleh kerajaan.

Menurutnya, ketika ini masyarakat didakwa mendapat gambaran bahawa UEC yang sebelum ini ditentang oleh pelbagai pihak kerana dikatakan bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan telah diiktiraf oleh Kerajaan MADANI.

“Walhal yang difahami, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) hanya membuka laluan kepada pemegang UEC untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan syarat tertentu.

“Antaranya wajib mengambil subjek Bahasa Melayu dan Sejarah yang dikendalikan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) serta diperakui Kementerian Pendidikan (KPM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut mendakwa laluan tersebut hanya melibatkan beberapa kursus tertentu sahaja.

Jamal turut menuntut penjelasan segera daripada Zambry bagi mengelakkan polemik berpanjangan yang boleh memberi kesan kepada UMNO.

“Jika benar UEC telah diiktiraf oleh Kerajaan Madani, maka ia adalah kemenangan kepada DAP yang selama ini memperjuangkan agenda berkenaan,” katanya lagi.

Beliau turut menggesa sekiranya pengiktirafan itu benar, UMNO perlu mempertimbangkan untuk keluar daripada Kerajaan MADANI kerana didakwa bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan prinsip perjuangan parti.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button