Ubah 731 data akaun pelanggan: Bekas pekerja Astro dipenjara 4 tahun
KUALA LUMPUR – Bekas pekerja Astro dipenjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah atas 731 pertuduhan mengubah suai data akaun pelanggan syarikat televisyen berbayar itu secara tidak sah selama hampir tujuh tahun.
Hakim Izralizam Sanusi memerintahkan Nora Idayu Jaafar, 49, menjalani hukuman penjara empat tahun bagi setiap pertuduhan, namun semua hukuman itu berjalan serentak bermula hari ini.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang bekerja di Unit Sokongan Komersial Astro diberikan akses kepada sistem dalaman syarikat melalui dua ID pengguna yang didaftarkan atas namanya.
Hasil semakan mendapati sebanyak 731 akaun pelanggan biasa telah ditukar kepada akaun korporat tanpa kebenaran antara Oktober 2013 hingga Ogos 2020, memetik laporan Bernama.
Tindakan itu membolehkan pelanggan menikmati perkhidmatan Astro melalui akaun korporat yang sepatutnya hanya digunakan untuk kegunaan dalaman syarikat dan bukan pelanggan berbayar.
Pendakwaan memaklumkan perbuatan tertuduh dilakukan secara konsisten dan sistematik sehingga menjejaskan integriti serta kebolehpercayaan sistem pengurusan pelanggan Astro.
Sementara itu, peguam bela memohon hukuman lebih ringan dengan alasan Nora Idayu tidak mempunyai rekod jenayah lampau selain menghidap bipolar dan berdepan tekanan rumah tangga serta masalah kewangan ketika melakukan kesalahan tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








