Piala Dunia: Malaysia dapat hak siaran semua 104 perlawanan
KUALA LUMPUR – Malaysia berjaya mendapatkan hak siaran Piala Dunia FIFA 2026 dengan kos paling minimum menerusi kerjasama strategik membabitkan beberapa syarikat telekomunikasi utama negara.
Ketua Pengarah Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM), Ashwad Ismail berkata, pendekatan kerjasama bersama Unifi, CelcomDigi dan UMobile itu membolehkan kesemua 104 perlawanan kejohanan berprestij berkenaan disiarkan kepada rakyat Malaysia tanpa membabitkan perbelanjaan besar kerajaan.
“Ini hasil kerjasama strategik pelbagai pihak dan sebahagian besar ditanggung penaja. RTM dan kerajaan hanya mengeluarkan perbelanjaan paling minimum,” katanya memetik laporan BH Online.
Menerusi kerjasama itu katanya, semua perlawanan Piala Dunia 2026 akan disiarkan menerusi platform RTM dan Unifi TV.
Minggu lalu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan siaran kejohanan berkenaan turut boleh diakses menerusi siaran percuma MyTV selain platform penstriman RTM Klik dan Unifi TV.
Menurutnya, langkah itu diambil bagi memastikan akses lebih menyeluruh kepada peminat bola sepak tempatan sepanjang kejohanan berlangsung.
Kesemua 104 perlawanan dijadual disiarkan secara langsung di Unifi TV manakala RTM akan menayangkan sebahagian besar perlawanan sama ada secara langsung atau siaran tertunda.
Piala Dunia FIFA 2026 bakal menyaksikan Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada bertindak selaku tuan rumah bersama.
Perlawanan pembukaan dijadual berlangsung di Mexico City pada 11 Jun ini manakala aksi final akan berlangsung di New Jersey, Amerika Syarikat pada 19 Julai.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















